- (Utusan Malaysia : Julai 2008)
PUTRAJAYA 25 Julai – Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan hari ini mencadangkan supaya Parlimen meminda Seksyen 97(2)(4) Akta Kanak-Kanak 2001 bagi memperbetulkannya kerana akta itu didapati tidak menyediakan peruntukan hukuman untuk dijatuhkan terhadap kanak-kanak yang disabitkan atas kesalahan membunuh. - Hakim Datuk Gopal Sri Ram yang mengetuai sidang mahkamah itu di sini bersama Hakim Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin dan Hakim Datuk Md. Raus Sharif membuat cadangan tersebut ketika membebaskan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang didapati bersalah menyebabkan kematian anak perempuan guru tuisyennya. Remaja itu menikam anak guru berkenaan sebanyak 22 kali pada tahun 2002. Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 1 Julai 2003 mendapatinya bersalah atas tuduhan membunuh Liew Mei Fong yang berusia 11 tahun di sebuah rumah di Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada 30 Mei 2002.
- Ketika melakukan kesalahan itu, remaja tersebut baru berusia 12 tahun sembilan bulan. Hukuman terhadap remaja itu diputuskan mengikut peruntukan Seksyen 97(2) Akta Kanak-Kanak 2001 yang telah diketepikan oleh Mahkamah Rayuan dengan alasan pelaksanaan akta itu melanggar Perlembagaan Persekutuan.
- Namun, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan kesalahan membunuh yang diputuskan terhadap remaja tersebut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Di bawah seksyen itu, jika disabitkan kesalahan yang melibatkan orang dewasa, ia membawa hukuman mati. Mengikut Akta Kanak-Kanak 2001, tertuduh jika didapati bersalah tidak akan dihukum mati sebaliknya ditahan di satu tempat selagi diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong. Keputusan Mahkamah Rayuan hari ini mengenai bidang kuasa akta itu mencatatkan satu lagi sejarah perundangan di negara ini dan yang pertama membabitkan kes jenayah serius di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.
- Remaja lelaki itu yang dibebaskan pagi ini melangkah keluar dari bangunan mahkamah di Putrajaya untuk pulang ke rumah bersama ibu bapa serta kakaknya. Dia telah ditahan berasingan dengan pesalah lain di Penjara Kajang sejak lebih lima tahun lalu dan kini merupakan seorang pelajar tingkatan enam rendah. Pada tahun lalu dia menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di dalam penjara dan memperoleh pangkat tiga termasuk kepujian dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris.
- Pihak media yang dilarang mendedahkan identiti remaja berkenaan dibenarkan mendekatinya dan bertanya khabar ketika dia menemui peguam belanya, Karpal Singh untuk mengucapkan terima kasih.“Saya ingin melanjutkan pelajaran dan bercita-cita hendak menjadi seorang peguam,’’ kata remaja itu dalam nada gembira. Anggota keluarganya melihat remaja yang bertubuh sederhana dan berambut pendek itu dengan pandangan penuh kegembiraan. Remaja itu yang telah menghabiskan masa di tempat tahanan dengan membaca buku dan sering bermain bola sepak dengan kawan-kawan memberitahu, dia rindukan masakan ibunya dan tidak sabar untuk bersama semula dengan keluarga.
- Pada 13 Julai lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan memutuskan sebulat suara membenarkan rayuan remaja lelaki itu bagi mengetepikan hukuman ditahan selama yang diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong. Bagaimanapun, rayuan remaja itu untuk mengetepikan sabitan kesalahannya ditolak kerana Mahkamah Rayuan bersetuju dengan penghakiman Mahkamah Tinggi yang dianggap telah dibuat secara selamat.
- Pada tahun 2003, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Maarop memutuskan remaja itu ditahan di satu tempat selagi diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong mengikut peruntukan Seksyen 97(2) Akta Kanak-Kanak 2001. Hakim Sri Ram ketika memutuskan mengetepikan hukuman itu pada 13 Julai lalu menegaskan bahawa peruntukan Seksyen 97(2) Akta Kanak-Kanak 2001 dengan jelas memberi kuasa memutuskan bentuk hukuman bagi pesalah juvenil yang membunuh kepada Badan Eksekutif. Sedangkan, katanya, Perlembagaan Persekutuan yang memartabatkan doktrin pengasingan kuasa antara cabang kerajaan telah memperuntukkan kuasa menghukum pesalah kepada Badan Kehakiman iaitu mahkamah.
- ‘‘Memandangkan Perkara 4(1) Perlembagaan Persekutuan mengisytiharkan perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi, tindakan yang melanggar doktrin pengasingan kuasa wajib dilihat sebagai tidak berperlembagaan,” katanya.
- Hari ini panel tiga hakim itu mencapai keputusan sebulat suara membebaskan remaja tersebut selepas mendengar hujahan Timbalan Pendakwa Raya, Yaacob Sam dan peguam Karpal Singh untuk menentukan tempat tahanan remaja tersebut. Hakim Sri Ram berkata: “Terdapat peruntukan dalam undang-undang kita yang melarang tertuduh daripada dihukum sebat. Oleh itu terserahlah kepada Parlimen untuk mengeluarkan arahan tidak dikenakan hukuman mati ke atas kanak-kanak.
- “Kami tidak berpendapat untuk menjatuhkan hukuman mati ke atas perayu. Apakah hukuman yang diperuntukkan (dalam akta itu), jawapannya adalah tidak ada,’’ jelasnya. Bagaimanapun, panel tiga hakim itu tidak bersetuju dengan pandangan Karpal untuk menimbangkan hujahannya di bawah Perkara 7(1) Perlembagaan Persekutuan mengenai perlindungan daripada undang-undang jenayah yang berkuat kuasa kebelakangan dan perbicaraan berulang. Karpal Singh sebelum ini dalam hujahnya tidak menafikan perbuatan anak guamnya namun menerangkan bahawa peruntukan hukuman tidak dinyatakan dalam Akta Kanak-Kanak 2001
Knowledge is not what you can remember, but what you cannot forget.Teachers open the door, but you enter by yourself.Be a lifelong student.The more you learn ,the more you earn and more self confidence you will have.
Sunday, February 7, 2010
Bunuh: Pelajar bebas -- Mahkamah Rayuan cadang pinda Akta Kanak-Kanak ekoran kes itu
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment