Sunday, November 11, 2012

Kepentingan Pelaburan Asing Kepada Negara

  1. Dapat mempelbagaikan kegiatan ekonomi negara
  2. Pembangunan infrastruktur dalam negara
  3. Menjana pertumbuhan negara ke tahap yang lebih tinggi
  4. Menjadikan sumber manusia negara lebih berdaya saing
  5. Menjadikan imej negara lebih baik
  6. Membawa masuk teknologi
  7. Sistem pengurusan yang lebih moden
  8. Kemasukan tenaga profesional  dan kepakaran
  9. Mengurangkan kadar pengangguran
  10. Meningkatkan pendapatan per kapita penduduk Malaysia
  11. Menambahkan pendapatan negara
  12. Meningkatkan pembangungan infrastruktur
  13. Mengeratkan hubungan kerjasama antara negara
  14. Menjamin kejayaan wawasan negara menjadi sebuah negara maju 

Trend Pelaburan Langsung Asing


Pelaburan asing terus mencakupi kira-kira satu pertiga daripada jumlah pelaburan swasta di Malaysia. Trend pelaburan langsung asing (FDI) kasar kekal stabil sejak tahun 2000 selepas mengalami penyederhanaan sewaktu krisis kewangan Asia. Kestabilan tersebut disebabkan terutamanya oleh syarikat multinasional (MNC) yang terus berkembang dan mempelbagaikan operasi mereka, dan dibiayai terutamanya daripada perolehan yang tidak diagih. Corak aliran FDI juga berubah dengan tumpuan pada sektor perkhidmatan yang mempunyai nilai ditambah yang tinggi berikutan transformasi dalam sektor perkhidmatan, serta mencakupi bahagian KDNK yang lebih besar. Memandangkan sektor perkhidmatan adalah kurang intensif modal, jumlah nilai kasar aliran baru juga adalah lebih kecil tetapi nilai ditambah dan sumbangannya kepada pertumbuhan adalah lebih tinggi.

Kerajaan terus memastikan dasar yang dilaksanakan akan terus menyokong kemasukan pelaburan asing yang baru dan Malaysia terus kekal sebagai destinasi pilihan untuk syarikat yang mencari peluang di rantau Asia. Inisiatif dasar termasuk satu siri Perjanjian Jaminan Pelaburan (IGA), insentif cukai dan bukan cukai, liberalisasi sektor secara Sementara data CBOP tidak merekodkan perolehan yang tidak diagih oleh syarikat asing yang sedia ada di Malaysia (kerana tiada pindahan merentasi sempadan melalui sistem perbankan), ia memberi penunjuk yang baik mengenai trend aliran FDI yang baru. Data berasaskan CBOP adalah lebih terkini masa dengan latihan selama enam minggu.

Trend FDI Terkini di Malaysia
Aliran FDI kasar terus kekal pada tahap yang tinggi, kira-kira RM18 – 20 bilion pada tahun-tahun kebelakangan ini (Graf 1).

Aliran masuk FDI menyumbang kepada penubuhan industri dan produk yang baru, pengenalan proses dan teknologi pengeluaran yang baru, pertumbuhan perkhidmatan sokongan, penyelidikan dan pembangunan serta akses kepada pasaran baru. Aliran FDI selepas tempoh krisis kekal stabil disebabkan MNC yang beroperasi di Malaysia terus melabur semula perolehan yang tidak diagih untuk mengembangkan, mempertingkatkan dan mempelbagaikan pengeluaran mereka walaupun terdapat persaingan yang lebih sengit daripada negara-negara yang mempunyai kos buruh yang rendah di rantau ini. Perolehan yang dilabur semula mencakupi hampir separuh daripada aliran kasar FDI bagi tempoh 1998 hingga 2002 (Graf 2).




Sebagai bahagian daripada KDNK, aliran FDI kasar terus kekal pada 6% pada tahun-tahun selepas krisis, berbanding dengan purata 8% pada pertengahan tahun 1990-an ketika aliran FDI memuncak. Ini adalah disebabkan oleh dua perkembangan yang utama:

• Antara tahun 1990 hingga 2002, pelaburan modal setiap pekerja (CIPE) dalam sektor perkilangan meningkat sebanyak 66%, menunjukkan dengan jelas trend ke arah pelaburan dalam projek bernilai ditambah yang lebih tinggi dan berteknologi tinggi serta pengambilan pekerja yang mempunyai kemahiran yang tinggi. Walau bagaimanapun, tahun-tahun kebelakangan ini (2001 hingga 2003), CIPE dalam sektor perkilangan merosot disebabkan sebahagian besar daripada peningkatan dalam pelaburan adalah terutamanya daripada pengembangan, peningkatan dan pempelbagaian projek yang sedia ada. Pada masa hadapan, pertumbuhanCIPE dijangka dapat dikekalkan berikutan usaha Kerajaan untuk menggalakkan pelaburan dalam sektor baru yang mempunyai pertumbuhan tinggi seperti bioteknologi dan industri berasaskan pertanian.

• Memandangkan sebahagian besar aliran FDI adalah disasarkan pada sektor perkhidmatan yang mempunyai nilai ditambah yang lebih tinggi serta aktiviti berasaskan pengetahuan, aliran masuk FDI bagi setiap pelaburan menjadi lebih rendah. Nilai FDI dalam sektor perkhidmatan memperlihatkan nilai yang lebih kecil dengan kandungan import yang rendah tetapi mempunyai kesan pengganda yang lebih besar ke atas pendapatan dan guna tenaga. FDI dalam sektor perkhidmatan lazimnya termasuk pengenalan teknologi baru dan membawa masuk kemahiran khas yang boleh menyumbang kepada peningkatan produktiviti. Perubahan struktur dalam aliran FDI adalah sejajar dengan transformasi ekonomi Malaysia ke arah menjadikan sektor perkhidmatan sebagai satu lagi enjin pertumbuhan serta peralihan ke arah ekonomi berasaskan pengetahuan.

Perubahan corak aliran FDI
Walau bagaimanapun, ini tidak bermakna trend aliran masuk FDI ke dalam sektor perkilangan menjadi kurang penting. Aliran masuk FDI ke dalam sektor perkilangan masih tinggi, tetapi pertumbuhan pesat aliran masuk yang baru ke dalam sektor-sektor lain menyebabkan bahagiannya secara relatif menurun kepada 38% pada tempoh 1998 hingga 2002, berbanding 66% pada tempoh 1993 hingga 1997 (Graf 3 dan 4).



 Sektor perkhidmatan serta minyak dan gas mengalami peningkatan yang ketara dari segi bahagian dalam aliran FDI, masing-masing mencakupi sebanyak 38% dan 24% pada tempoh 1998 hingga 2002.

FDI dalam sektor perkhidmatan adalah semakin menyeluruh, bukan sahaja merangkumi subsektor perkhidmatan pembiayaan, insurans dan perdagangan tetapi juga subsektor lain yang penting seperti perdagangan borong dan runcit serta perhotelan, pengangkutan dan perhubungan serta utiliti. Dalam sektor kewangan, beberapa bank asing telah menubuhkan operasi perbendaharaan, pejabat sokongan (back-office) dan pemprosesan data di Malaysia bagi menyokong operasi kumpulan mereka di rantau ini. Malaysia telah menjadi tuan rumah kepada beberapa kemudahan serantau syarikat asing dan juga tempatan. Sehingga akhir tahun 2003, Kerajaan meluluskan 1,695 kemudahan serantau kepada syarikat milik asing dan juga tempatan. Daripada jumlah tersebut, 71 adalah ibu pejabat operasi (OHQ), 473 pejabat serantau, 141 pusat pemerolehan antarabangsa (IPC), 1,006 pejabat perwakilan dan 4 pusat pengagihan serantau (RDC).

Dalam sektor teknologi maklumat (IT), pusat IT Malaysia, iaitu Koridor Raya Multimedia (MSC) terus berkembang. Sehingga bulan Februari 2004, terdapat 283 syarikat asing yang beroperasi dalam MSC, mencakupi 29% daripada syarikat bertaraf MSC dengan guna tenaga lebih daripada 20,000 orang pekerja berpengetahuan. Untuk terus menarik lebih banyak penyertaan asing, Multimedia Development Corporation (MDC), iaitu pentadbir MSC, menawarkan pakej insentif kewangan yang menggalakkan. Syarikat-syarikat bertaraf MSC juga diberi keistimewaan dari segi kelonggaran pentadbiran untuk memperoleh modal dan meminjam dana dari seluruh dunia.

FDI Dalam Perspektif Rantau
Di rantau ini, selain Hong Kong China dan Singapura, Malaysia mempunyai kedudukan yang lebih tinggi berbanding dengan kebanyakan ekonomi serantau yang lain dari segi aliran masuk FDI meskipun terdapat kemerosotan dalam aliran FDI ke ekonomi yang sedang giat membangun (Graf 5 & 6). Kehadiran MNC yang tinggi di Malaysia membuktikan kelebihan yang boleh ditawarkan oleh Malaysia dalam pengeluaran global atau rantaian pemasaran. Berdasarkan data Amerika Syarikat, MNC bukan bank Amerika Syarikat mencapai pulangan yang lebih tinggi untuk pelaburan mereka di Malaysia (5.6%), berbanding dengan purata sebanyak 3.5% untuk pelaburan di ekonomi Asia pada tahun 2000.



Laporan Pelaburan Dunia UNCTAD 2003 menyenaraikan Malaysia sebagai salah satu daripada sepuluh ekonomi teratas yang berjaya mengatasi kemerosotan aliran FDI global pada tahun 2002. Di samping itu, Laporan FDI tahun 2003 oleh A.T. Kearney menyatakan Malaysia telah meningkatkan daya tarikan sebagai destinasi FDI, dengan membaiki kedudukannya kepada tempat ke 23 (2002: 42) dalam keseluruhan indeks keyakinan FDI. Secara lebih khusus, Malaysia berada dalam kedudukan sepuluh negara teratas yang mendapat FDI bagi industri utama dan membaiki kedudukannya dalam sektor lain seperti elektronik, perlombongan, petrokimia, batu/gelas dan kimia/plastik serta perundingan.


Dasar FDI
Kekukuhan asas ekonomi Malaysia seperti keterbukaan perdagangan, perlindungan undang-undang hak cipta, kadar cukai yang rendah, komitmen kepada penentuan harga pasaran, tenaga pekerja yang berpendidikan tinggi, sistem kewangan yang cekap dan berpelbagai bagi memperoleh modal jangka panjang, urus tadbir korporat yang mantap, infrastruktur yang maju dan pelbagai insentif cukai terus dianggap sebagai kelebihan yang ada pada Malaysia untuk menarik FDI. Sementara dasar sebelum ini adalah lebih menyeluruh pada asasnya, insentif yang diberi telah dipakej semula dan semakin banyak insentif yang ditawarkan mengikut kehendak pelabur dan industri tertentu. Terdapat tiga falsafah umum yang membentuk dasar yang khusus untuk FDI:

• Insentif cukai dan tanpa cukai untuk menggalakkan industri tertentu;

• Liberalisasi secara berperingkat untuk sektor dari segi kemasukan pasaran, peraturan pengambilan pekerja ekspatriat, pemilikan ekuiti dan pelonggaran peraturan dan pengawalan; dan

• Peningkatan dalam proses pentadbiran dan meminimumkan kos untuk menubuhkan dan menjalankan perniagaan di Malaysia.

Dalam rangka kerja ini, terdapat pelbagai langkah yang khusus, yang ditujukan dan lebih penting lagi, memberi manfaat kepada pelabur. Di samping itu, disebabkan rangka kerja pelaburan tersebut adalah berorientasikan pencapaian dan bukannya berorientasikan insentif,maka insentif tersebut sentiasa diubahsuai bagi memenuhi kehendak pelabur melalui mekanisme yang sedia ada untuk rundingan antara Kerajaan dan MNC. Ini diperakui oleh World Competitiveness Yearbook 2003 yang menempatkan Malaysia sebagai pilihan kedua terbaik di dunia dari segi tanggapan syarikat tentang keupayaan Kerajaan untuk menyesuaikan dasar mengikut perubahan dalam ekonomi. Selain daripada insentif fiskal dan insentif khusus lain, langkah-langkah liberalisasi sektor secara berperingkat menawarkan peluang baru kepada pelabur asing dalam sektor barangan dan perkhidmatan.

Kerajaan telah melaksanakan pendekatan yang menyeluruh untuk mengurangkan kos menjalankan perniagaan serta menggalakkan peningkatan kecekapan dan kemajuan teknologi melalui pakatan strategik dengan pelabur asing dalam sektor ekonomi utama. Kerajaan juga menyedari kepentingan untuk menjalin hubungan yang lebih erat antara perusahaan kecil dan sederhana tempatan (PKS) dengan syarikat milik asing yang besar. Oleh itu, dasar semasa yang menitikberatkan pembangunan sektor PKS yang kukuh dan berdaya maju dilihat sebagai pelengkap kepada usaha menarik FDI. Dengan meluaskan asas industri tempatan, ekonomi akan beroleh keuntungan dengan mengagihkan faedah FDI secara adil. Pada masa yang sama, pelabur asing dapat menikmati barangan dan perkhidmatan berkualiti tinggi yang disediakan oleh ekonomi dalam negeri pada kos yang rendah. Dalam menuju ke hadapan, strategi pertumbuhan yang seimbang yang melibatkan sinergi antara syarikat milik tempatan dan asing akan membolehkan negara ini bertindak secara berkesan terhadap persekitaran global yang semakin kompetitif.

http://www.bnm.gov.my

Followers