Sunday, November 8, 2009

SEKOLAH SATU ALIRAN AKAN DILAKSANAKAN DENGAN PERSETUJUAN RAKYAT-KATA NAJIB


KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengambil kira pandangan rakyat sebelum membuat keputusan melaksanakan sekolah satu aliran bagi menjaga sensiviti kaum di negara ini, kata Datuk Seri Najib Tun Razak. Perdana Menteri berkata kerajaan akan hanya mengubah sesuatu dasar sekiranya dipersetujui rakyat dan jika sebaliknya, dasar sedia ada akan dikekalkan.Beliau berkata perubahan kepada sistem satu aliran memerlukan anjakan besar daripada segi dasar dan ia juga menimbulkan persoalan sama ada masyarakat negara ini bersedia untuk menafikan hak memilih jenis pendidikan.

"Saya fikir perkara ini belum ada kata putus dalam masyarakat, ada yang fikir baik diadakan sekolah satu aliran malah ada yang fikir bahawa mereka nak juga hak untuk memilih. "Jadi selagi kita (kerajaan) tidak putuskan mengenai perkara ini, saya tidak mahu berlaku perbalahan dalam masyarakat kerana soal pendidikan ini amat sensitif," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perhimpunan Perdana Menteri bersama warga kerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan TNB di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai cadangan beberapa anggota Parlimen yang mahukan kerajaan mewujudkan sekolah satu aliran selepas cadangan itu ditimbulkan oleh tokoh sejarah dan akademik, Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim minggu lepas. Khoo dilaporkan berkata sistem pendidikan negara perlu disusun semula termasuk melaksanakan sekolah satu aliran bagi memastikan matlamat gagasan 1Malaysia tercapai kerana sistem pendidikan yang mengamalkan sekolah pelbagai aliran ketika ini tidak membantu rakyat menyelami makna sebenar gagasan itu.

Najib berkata terdapat pelbagai pendapat dalam soal pendidikan. "Soal pendidikan ini ada macam-macam pendapat. Kita sudah bermula dengan satu kedudukan di mana kita memberi setiap warga Malaysia, kumpulan etnik dan komuniti hak untuk memilih jenis pendidikan. "Kita hanya akan mengubah dasar berdasarkan kepada kehendak masyarakat, kalau masyarakat bersedia untuk membuat perubahan kita akan ubah, selagi masyarakat tak bersedia kita akan kekalkan seperti mana sedia ada," katanya.

Najib berkata tidak ada gunanya kerajaan mengubah dasar kepada sekolah satu aliran sekiranya keputusan tersebut boleh menyebabkan perbalahan dan ketegangan dalam politik, masyarakat dan sosial kerana menurutnya sebarang keputusan kerajaan adalah untuk membawa perpaduan kepada semua. "Kalau kita nak ubah dasar kepada sekolah satu aliran, tujuan kita hanyalah untuk perpaduan semua kaum. Kita tidak mahu keputusan itu menyebabkan perbalahan dan ketegangan. Tujuan kita untuk membawa perpaduan tetapi jika keputusan itu sendiri membawa ketegangan antara kaum, apa maknanya," katanya.
BERNAMA

PANDUAN MENYEDIAKAN KERTAS CADANGAN KAJIAN

( Khas untuk pelajar-pelajar Tingkatan 6 yang menjalankan projek RnD )

1. Tajuk Kajian
Tajuk kajian harus mencerminkan skop dan kandungan kajian secara umum tetapi tepat. Sebagai garis panduan umum, hadkan bilangan perkataan dalam tajuk supaya tidak melebihi 10 perkataan.

2. Kepentingan Kajian
Kajian harus mempunyai nilai sumbangan kepada penambahan ilmu dan boleh digunakan untuk kepentingan organisasi dan perkhidmatan.

3. Pernyataan Masalah
Kajian harus menyatakan permasalahan yang mencetuskan keinginan pengkaji untuk menyelidikinya

4. Objektif Kajian
Objektif kajian meliputi perkara-perkara yang hendak dicapai atau dilaksanakan dalam projek kajian. Pengkaji boleh menyatakan objektif kajiannya secara khusus atau membahagikan objektif kajian tersebut kepada dua iaitu objektif umum dan objektif khusus.

5. Skop dan Batasan Kajian
Secara praktikalnya sesuatu kajian itu dibatasi oleh kekangan masa, tenaga dan kewangan. Oleh itu sesuatu kajian perlu menyatakan skop dan batasan sebagai terma rujukan.

6. Teori dan Hipotesis Kajian
Teori memberikan arah haluan kepada pengkaji untuk melaksanakan kajiannya. Teori juga membantu pengkaji memilih dan menilai angkubah yang difikirkan berkaitan dengan masalah yang dikaji. Hipotesis ialah saranan yang bersifat sementara (mungkin betul atau tidak) tentang hubungan antara sesuatu angkubah dengan angkubah lain dalam kajian.

7. Metodologi Kajian
i. Reka bentuk Kajian
Pengkaji harus menentukan reka bentuk kajian yang paling sesuai untuk mencapai objektif kajian

ii. Kaedah Pengumpulan Data
Pengkaji perlu menyatakan sumber data yang digunakan sama ada bersifat primer atau sekunder. Kemudian jelaskan kaedah yang digunakan untuk memperolehi data seperti daripada dokumen atau penerbitan badan tertentu, tinjauan di lapangan menggunakan borang soal selidik, tinjauan melalui pos/e-mel, pemerhatian pengkaji, temu bual bersemuka, temu bual menerusi telefon dan sebagainya.

iii. Kaedah Menganalisis Data
Pengkaji perlu menyatakan kaedah analisis data yang digunakan sama ada secara kuantitatif, kualitatif atau kombinasi kedua-duanya.

iv. Populasi dan Persampelan ( kumpulan yang akan dikaji )
Kajian perlu mengenalpasti kaedah untuk mendapatkan populasi bagi membina rangka persampelan.

8. Sorotan Kajian-kajian Lalu
Meneliti kajian-kajian lalu memberi peluang kepada pengkaji untuk mempelajari pengalaman dan penemuan orang lain. Dalam bahagian ini, pengkaji boleh memberi sedikit ringkasan dan komentar mengenai kedudukan epistemologi ilmu pengetahuan dalam bidang yang diselidiki dengan menyorot aspek teori, permasalahan, metodologi, persampelan, penganalisisan data, dapatan (penemuan), kekuatan, kelemahan dan cadangan penambahbaikan daripada kajian-kajian lalu itu.

9. Anggaran Implikasi Kewangan
Pengkaji perlu menyenaraikan butiran perbelanjaan yang akan ditanggung untuk menjalankan kajian tersebut. Implikasi kewangan sebenarnya banyak bergantung kepada cara pengendalian kajian, misalnya bayaran khidmat mencetak borang kaji selidik.

10. Jadual Kerja
Dalam jadual kerja perlu dinyatakan tarikh dan jangka masa setiap peringkat penyelidikan dijalankan iaitu bermula dengan menyediakan kertas cadangan kajian, melaksanakan sorotan karya, menentukan teori dan hipotesis, merangka soal selidik, membuat pilot test ( sekiranya perlu ), mengumpul data, menganalisis data dan menulis laporan kajian. Salah satu kaedah yang sesuai untuk merangka jadual kerja kajian ialah dengan menggunakan Carta Gantt.

** diubahsuai daripada penerbitan INTAN

Followers