Thursday, October 8, 2009

Langkah Asas Membuat Penyelidikan Sosiologi

1.0 Pengenalan

2.0 Langkah-langkah Penyelidikan

2.1 Penyataan Masalah

2.2 Membuat Rujukan

2.3 Mengemukakan Hipotesis

2.4 Menentukan Kaedah

2.5 Menentukan Strategi dan Teknik Maklumat

2.6 Menjadualkan Kerja

2.7 Menganalisa dan Menginterpretasi Data

2.8 Melaporkan Hasilan

3.0 Penutup

Senarai Rujukan

Amir Hasan Dawi, 1999, Penteorian Sosiologi dan Pendidikan, Quantum Books, Tanjung Malim.

Alex Inkeles, 1982, Apa Itu Sosiologi ? Suatu Pengenalan Mengenai Disiplin dan Profesion, Universiti Harvard, DBP, Kuala Lumpur.

Kenneth D. Bailey, 1992, Kaedah Penyelidikan Sosial, DBP, Kuala Lumpur.

Mohd. Salleh Lebar, 1998, Pengenalan Ringkas Sosiologi Sekolah dan Pendidikan, Thinker’s Library Sdn.Bhd., Selangor.

Syed Arabi Idid, 1993, Kaedah Penyelidikan Komunikasi dan Sains Sosial, DBP, Kuala Lumpur.

Wednesday, October 7, 2009

MOSTE Serius Popularkan Sains dan Teknologi

MARZITA ABDULLAH ( Estidotmy, Oktober, 2009)

PENERAPAN ilmu sains dan teknologi (S&T) di kalangan masyarakat di negara ini terutama golongan pelajar amat dipandang serius oleh kerajaan. Ini berdasarkan peruntukan bagi pelaksanaan Program Penggalakkan Sains dan Teknologi (PPST) yang berjumlah RM14.65 juta bagi Rancangan Malaysia ke-8 (RMK-8).

Pada tahun lalu, sejumlah RM3.1 juta telah diperuntukkan untuk PPST manakala bagi tahun ini sebanyak RM3.05 juta telah diperuntukkan.Jumlah peruntukan bagi RMK-8 adalah dua kali ganda daripada peruntukan PPST pada RMK-7 yang berjumlah RM7.5 juta.
PPST yang diletakkan di bawah Bahagian Sains dan Teknologi Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar (MOSTE) diadakan sepanjang tahun dengan mewujudkan pelbagai aktiviti untuk menanam minat masyarakat Malaysia terhadap S&T.Aktiviti PPST dibahagikan kepada tiga peringkat iaitu peringkat persekutuan, negeri dan sekolah.


Di peringkat persekutuan, projek besar-besaran diadakan meliputi pelbagai pertandingan yang memberi imbuhan yang lumayan serta pameran yang melibatkan semua lapisan masyarakat.
Aktiviti-aktiviti itu ialah Anugerah Sains yang bertujuan memberi pengiktirafan dan galakan terhadap kerja dan pencapaian cemerlang ahli-ahli sains, penyelidik, perekacipta dan juruteknologi tempatan dalam pembangunan S&T negara.

Anugerah itu terdiri daripada Anugerah Sains Negara dengan hadiah wang tunai sebanyak RM60,000, Anugerah Perekacipta Negara (wang tunai RM20,000), Anugerah Saintis Muda Negara (empat hadiah wang tunai bernilai RM10,000 setiap satu) dan Anugerah Juruteknologi Negara dengan empat hadiah wang tunai bernilai RM5,000 setiap satu.

Selain itu anugerah lain yang turut diadakan ialah Anugerah Majlis Penyelidikan dan Kemajuan Sains Negara (MPKSN) yang bertujuan menghargai dan mengiktiraf sumbangan individu, institusi penyelidikan, persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) S&T dan sektor swasta terhadap pembangunan S&T negara.

Menteri Sains, Teknologi dan Alam Sekitar, Datuk Seri Law Heing Ding melawat salah satu pameran Sains dan Teknologi yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Anugerah tersebut ialah Anugerah Peningkatan Kefahaman Awam Terhadap S&T, Anugerah Institusi Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) dan Anugerah Pendidikan Matematik.
Turut dilaksanakan di bawah PPST ialah Pesta Pertandingan Robot (ROBOFEST) yang merupakan anjuran bersama MOSTE dan SIRIM Berhad serta Kementerian Pendidikan.
ROBOFEST bertujuan mempromosi dan mendorong minat setiap lapisan masyarakat di peringkat sekolah dan pelajar universiti serta orang ramai terhadap teknologi robotik dan kepintaran buatan (artificial intelligent).Antara aktiviti pesta tersebut ialah pertunjukan robotik, pertandingan robotik, seminar dan forum.


Dengan kesedaran bahawa budaya S&T boleh dipupuk melalui pembacaan MOSTE turut bekerjasama dengan Akademi Sains Malaysia menerbitkan majalah khas S&T iaitu estidotmy.
Ia bertujuan untuk menarik minat para pelajar terutama yang berumur 15 tahun ke bawah untuk meminati dan menerokai bidang S&T di samping memberi kefahaman dan pengetahuan kepentingan S&T dalam kehidupan seharian manusia.


MOSTE turut menyediakan Skim Bantuan Kewangan MOSTE yang merupakan bantuan kewangan (token) bagi membiayai sebahagian kos penganjuran aktiviti persatuan dan NGO S&T seperti persidangan, bengkel, seminar dan aktiviti-aktiviti promosi S&T berdasarkan Garis Panduan Bantuan Kewangan MOSTE dan Kementerian Kewangan.


Turut tersenarai dalam aktiviti PPST ialah Peruntukan Khas Projek Inovasi Sains, Kejuruteraan dan Rekacipta Sekolah Menengah.


Pengwujudan skim itu merupakan salah satu usaha menggalak dan membantu para pelajar sekolah untuk membuat persediaan mengambil bahagian dalam pertandingan penyelidikan S&T, reka cipta dan inovasi anjuran bersama Bahagian Sekolah Kementerian Pendidikan dan Bahagian Sains dan Teknologi, MOSTE.


Usaha MOSTE mempromosikan Sains dan Teknologi berjaya menanam minat generasi muda terhadap bidang itu, seperti robotik.


Turut diadakan ialah Ekspo S&T yang dianjurkan oleh Institut Penyelidikan Teknologi Nuklear Malaysia (MINT) bertujuan mempromosi hasil-hasil R&D dan kemajuan teknologi S&T yang dilaksanakan oleh institusi R&D tempatan.


MOSTE turut mengadakan dialog antara pihaknya dengan persatuan dan NGO S&T yang bertujuan membincangkan isu-isu S&T yang melibatkan bidang kuasa dan tanggungjawab MOSTE serta agensi-agensinya.


Di samping itu, ia diadakan bagi mendapat maklum balas dan cadangan daripada persatuan dan NGO S&T bagi membolehkan MOSTE memperkemaskan dasar dan meningkatkan mutu perkhidmatan kepada masyarakat.Pameran Rekacipta Inovasi dan Teknologi (ITEX), suatu pameran yang mendapat sambutan hebat daripada saintis dan penyelidik merupakan salah satu daripada aktiviti PPST.


ITEX dianjurkan oleh Persatuan Rekacipta dan Rekabentuk Malaysia (MINDS) yang merupakan pameran hasil reka cipta, inovasi dan pameran hasil-hasil penyelidikan.
Antara aktiviti ITEX ialah pertandingan reka cipta dan reka bentuk, malam budaya cipta, zon inovasi dan keusahawanan, anugerah gerai terbaik dan seminar reka cipta. Turut disenaraikan dalam aktiviti PPST ialah Kongres Sains dan Teknologi Malaysia yang diselaraskan oleh Gabungan Persatuan-persatuan Sains dan Teknologi Malaysia (COSTAM).
Objektif kongres itu ialah untuk mengemaskini dan menonjolkan kemajuan yang dicapai dalam R&D serta meningkatkan interaksi antara saintis tempatan dan saintis Malaysia yang berkhidmat di luar negara.


MOSTE juga tidak pernah melupakan peranan wartawan di negara ini dalam menyebarkan maklumat-maklumat terkini S&T justeru ia turut dimasukkan dalam aktiviti PPST.
Antara aktiviti yang melibatkan pihak media ialah Bengkel Kewartawanan S&T yang diselaraskan oleh Institut Akhbar Malaysia (IAM) bertujuan memberi peluang kepada wartawan media cetak dan elektronik menimba pengetahuan dan kemahiran kewartawanan dalam pelbagai bidang S&T.MOSTE dan IAM turut memberi pengiktirafan terhadap pihak media melalui Anugerah Kewartawanan Sains dan Teknologi berdasarkan sumbangan mereka meningkatkan kesedaran dan penghayatan orang ramai terhadap S&T menerusi artikel dan rancangan berhubung pelbagai isu S&T.

Tiga anugerah disediakan untuk pihak media iaitu Anugerah Kewartawanan Sains dan Teknologi dengan tiga hadiah wang tunai bernilai RM3,000 setiap satu, Hadiah Penghargaan Wartawan dengan lima hadiah wang tunai bernilai RM1,000 setiap satu dan Hadiah Pertubuhan Media.
Dalam pada itu, di peringkat negeri pula PPST dijalankan dengan kerjasama kerajaan-kerajaan negeri dan jabatan-jabatan kerajaan, persatuan sains dan swasta. Antara aktiviti bagi galakan S&T ialah pameran, kuiz melalui radio, seminar kesedaran, lawatan ke kilang dan anugerah sains.
Di peringkat sekolah pula, MOSTE, Kementerian Pendidikan, Lembaga Getah Malaysia, Akademi Sains Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) bergabung tenaga melaksanakan pelbagai aktiviti untuk menarik minat pelajar dalam bidang S&T.Antara aktivitinya ialah puisidra S&T, kuiz sains semula jadi, kuiz sains nasional dan kem penyelidikan S&T.

Klon..penyelamat binatang terancam?

DOLLY terpaksa dimatikan lebih awal daripada jangka hayatnya kerana masalah kesihatan yang teruk.
  • MAMPUKAH kaedah pengklonan mengatasi masalah kepupusan binatang di muka bumi ini? Kajian-kajian yang pernah dilakukan di negara barat mendapati kaedah ini mempunyai potensi walaupun ia menemui beberapa kegagalan.Kematian bebiri Dolly yang merupakan binatang pertama yang diklon mengugat sedikit sebanyak keyakinan terhadap kemampuan teknik pengklonan meneruskan kelangsungan binatang-binatang yang terancam.
  • Bagaimanapun baru-baru ini dua ekor lembu liar daripada spesies Banteng berjaya dilahirkan di Iowa, Amerika Syarikat hasil teknik pengklonan.Salah satu daripada anak lembu jantan itu mempunyai berat badan dua kali lebih daripada apa yang dijangkakan. Kejayaan ini memberi harapan bahawa teknik pengklonan kacukan silang ini mampu mengatasi masalah kepupusan lebih 100 spesies.
  • Di samping itu kejayaan ini juga memberi harapan untuk menambahkan lagi kepelbagaian genetik bagi meningkatkan populasi binatang. Jika berjaya hidup dengan selamat, binatang-binatang ini akan dibawa ke Taman Hidupan Liar San Diego untuk dibiakkan lagi.
  • Banteng adalah antara binatang yang diancam kepupusan. Bilangannya kini kurang daripada 8,000 ekor dan kebanyakannya terdapat di Pulau Jawa, Indonesia. Walaupun teknologi yang digunakan masih diselubungi dengan pelbagai masalah, saintis sebenarnya sangat kagum dengan kejayaan ini. Ini diakui oleh pakar genetik di Pusat Reproduksi Spesies Terancam di Zoo San Diego, Oliver Ryder.
  • Pada tahun 1977, pihak zoo telah pun memulakan usaha mengawet bahan-bahan genetik daripada beratus-ratus binatang di bawah program ‘Zoo Beku’ atau Frozen Zoo. Kesemua sampel tisu daripada setiap binatang dibekukan dalam cecair nitrogen. “Ketika itu, kami tidak tahu bagaimana sumber-sumber ini boleh digunakan, tetapi kami tahu ia sangat penting untuk menyelamatkan spesies-spesies terancam,’’ kata Ryder.
  • Sel kulit beku Banteng yang telah lama disimpan ini di hantar ke sebuah syarikat pengklonan - Advanced Cell Technology di Masschusects untuk proses pengklonan seterusnya. Sebenarnya, ini bukan merupakan uji kaji keadah pengklonan kacukan silang yang pertama. Dua tahun lalu, seekor lembu telah melahirkan anak lembu yang diklonkan daripada sejenis kerbau liar dan dinamakan Noah. Noah bagaimanapun mati dua hari selepas itu.
  • Usaha pengklonan binatang ini sebenarnya ditentang hebat oleh aktivis hak binatang. Mereka mendakwa pengklonan binatang tidak harus dilakukan kerana ia dianggap zalim kerana hasil binatang yang diklonkan itu tidak dapat bertahan lama dan selalunya mempunyai tahap kesihatan yang sangat rendah seperti apa yang dialami oleh bebiri Dolly.
    Dolly terpaksa ‘dimati’ pada Februari lalu kerana penyakit paru-paru. Dolly terpaksa dimatikan ketika usianya enam tahun sedangkan bebiri itu dijangka mampu hidup sehingga 12 tahun.
  • Selain itu, saintis di China juga kini sedang menjalankan kajian untuk menjadikan arnab sebagai ibu tumpang bagi mengklonkan panda.Dijangkakan panda yang dihasilkan menerusi penyelidikan ini hanya akan mempunyai saiz sebesar sebuku mentega

( ESTIDOTMY-OKTOBER 2009 )

Semangat Kebersamaan Gahkan Nama Malaysia

( Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim - Berita Harian Online )
  • SEJARAH 50 tahun lalu, sekumpulan patriot negara diterajui Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj berjaya mencapai kemerdekaan negara selepas hampir lima kurun berada di bawah belenggu penjajahan. Dengan pengalaman berkerajaan sendiri begitu singkat, berlatarbelakangkan pula pemberontakan komunis yang masih belum reda, wujudnya ketidakseimbangan sosioekonomi dan ditambah lagi dengan sifat majmuk negara baru, maka banyak pihak ketika itu meramalkan Tanah Melayu ibarat ‘retak menanti belah’ dan tidak mungkin berjaya.
  • Namun, kita sudah membuktikan sangkaan itu meleset sama sekali. Dalam tempoh lima dekad merdeka, kita muncul sebagai negara membangun termaju. Persoalannya, apakah formula rahsia mendasari kejayaan ini? Sesungguhnya, tidak lain dan tidak bukan, ia adalah faktor perpaduan di antara rakyat berbilang kaum dan kepercayaan berteraskan falsafah meraikan kemajmukkan yang wujud sebagai sumber kekuatan, bukannya perkara titik tolak menyebabkan perpecahan.
  • Nyatanya, kejayaan dan kemakmuran Malaysia sepanjang tempoh ini tumbuh dan berkembang hasil sumbangan serta dukungan semua kaum, penganut kepercayaan, lapisan masyarakat, di desa mahupun kota, yang berada atau tidak, tua atau muda. Dalam erti kata lain, setiap rakyat wajib mengakui hakikat perpaduan pelbagai kaum adalah tonggak kejayaan negara seterusnya membolehkan Malaysia muncul sebuah negara yang pesat membangun.
  • Cabaran kepada perpaduan itu bermula pada era penjajahan British yang memisahkan masyarakat Tanah Melayu menerusi dasar ‘pecah dan perintah’ mengikut pola kependudukan dan penempatan, jenis pekerjaan dan sistem pendidikan mengikut garis kaum. Kemudian negara dikejutkan peristiwa 13 Mei 1969 kerana masyarakat pada masa itu sangat kuat dipengaruhi sentimen perkauman.
  • Selepas peristiwa hitam itu, bermulalah ‘pembinaan sosial’ ke arah pembentukan masyarakat bersatu-padu melalui dasar integrasi nasional dan pelbagai dasar yang diwujudkan mempunyai matlamat ke arah perpaduan.
  • Semuanya dilaksanakan melalui konsep dan falsafah ‘politik kompromi’ sehingga kita berjaya mengawal dan membendung isu perkauman yang boleh memecah-belahkan masyarakat. Kaedah rundingan, persefahaman dan tolak ansur yang tinggi sentiasa menjadi amalan masyarakat. Pemimpin politik dan pemimpin masyarakat sangat berpegang kepada Perlembagaan Persekutuan dan kontrak sosial yang dibina oleh pemimpin pelbagai kaum, sejak kemerdekaan negara.
  • Awang Selamat pernah menyiarkan petikan kenyataan seorang pemimpin MCA, Tun Tan Siew Sin pada 30 April 1969 berbunyi: “Orang Melayu menerusi Umno bermurah hati melonggarkan syarat dalam undang-undang negara ini sehinggakan dalam masa 12 bulan selepas kemerdekaan, 90 peratus penduduk bukan Melayu menjadi warga negara.” Ini berbeza dengan keadaan sebelum merdeka di mana 90 peratus daripada mereka masih tidak diiktiraf sebagai rakyat Tanah Melayu walaupun hampir 100 tahun hidup di bawah pemerintahan penjajah. Sebagai membalas kemurahan hati orang Melayu, MCA dan MIC bersetuju meneruskan dasar memelihara dan menghormati kedudukan istimewa orang Melayu dan pada masa sama mempertahankan kepentingan sah kaum lain.
  • Sebelum itu, seorang pemimpin MIC, Tun VT Sambanthan pada 1 Jun 1965 pernah berkata: “Pada 1955, kita telah memenangi pilihan raya dengan majoriti yang tinggi, selanjutnya mendapat kemerdekaan dalam masa dua tahun kemudian. Dalam jangka masa itu, kita terpaksa berbincang dan menangani pelbagai perkara termasuk soal kewarganegaraan.”
  • Apa pun hakikatnya, kita jangan lupa keunikan yang kita miliki ini. Negara yang lebih dulu merdeka daripada kita pun tidak mencapai kejayaan seperti yang kita nikmati sekarang. Sebab itu kita perlu berwaspada terhadap anasir yang sengaja dan berusaha memecah-belahkan perpaduan di negara ini. Sudah menjadi bukti sejarah bahawa negara ini berjaya membentuk keharmonian kaum melalui usaha liberalisasi antara kaum dan persefahaman dalam politik, ekonomi dan budaya. Misalnya, tindakan pemimpin Melayu seperti Tunku Abdul Rahman membenarkan konsep ‘jus soli’ dilaksanakan sebagai asas kewarganegaraan pada 1957 kepada masyarakat Cina dan India adalah satu liberalisasi yang sangat besar ertinya.
  • Tindakan beliau bukan saja tidak popular malah mendapat tentangan ramai pemimpin orang Melayu ketika itu. Tetapi hasilnya kita seluruh rakyat Malaysia dapat hidup dengan aman pada hari ini, manakala kesanggupan pemimpin bukan Melayu seperti Tun Tan Cheng Lock, Siew Sin dan Sambanthan menerima baik dengan konsep hak dan keistimewaan Bumiputera, kedudukan agama Islam, bahasa dan status Raja-Raja Melayu juga adalah satu toleransi yang menjayakan kehidupan bermasyarakat di negara ini. Itulah tahap pertama liberalisasi dan toleransi terlaksana secara berstruktur di negara ini.
  • Apabila migrasi penduduk Melayu ke bandar besar bermula pada era 1970-an menjadi matang sekarang, masyarakat Melayu dan bukan Melayu tidak lagi hidup seperti zaman penjajahan, terpisah antara satu sama lain. Kini mereka berjiran, bekerja dan berekreasi di ruang sama. Seorang penulis menggelarkan dirinya sebagai ‘Bangsa 1Malaysia’ dari Brickfields, menceritakan mengenai ‘Jalan Berhala Truly 1Malaysia’
  • Antara kandungan penulisannya: “Jalan Berhala di Brickfields dikelilingi kuil India, tokong Cina dan Buddha, surau dan gereja. Tidak hairan ia berada di tengah komuniti ‘Little India’ tetapi penduduk di sini belajar untuk menerima loceng kuil India seawal jam 5 pagi, diikuti azan selepas 5.30 pagi dan hari Ahad, bunyi loceng gereja dan loceng Buddha pada awal pagi. “Ia adalah kawasan unik untuk didiami kerana generasi muda belajar untuk menerima kehadiran agama yang berbeza di negara kita. Setiap orang di Malaysia patut datang melawat atau tinggal di Jalan Berhala untuk merasai erti 1Malaysia yang sebenarnya.”
  • Oleh itu, perpaduan mesti dijaga dan keamanan mesti diutamakan kerana Tun Dr Mahathir Mohamad pernah mengungkapkan: “Tetapi ada keperluan untuk penahanan pencegahan di Malaysia semata-mata kerana tanpa ini, ancaman pelampau perkauman akan menggugat kestabilan politik di negara ini. Pelampau ini boleh mencetuskan rusuhan dan ia bukan sesuatu yang perlu kita ambil mudah. Kita mesti menghargai kestabilan kerana ia memudahkan negara ini untuk lebih maju berbanding negara lain.” Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim, bekas Ketua Hakim Negara, kini ialah Pro Canselor Universiti Utara Malaysia.

Followers