Sunday, February 7, 2010

Bunuh: Pelajar bebas -- Mahkamah Rayuan cadang pinda Akta Kanak-Kanak ekoran kes itu
  • (Utusan Malaysia : Julai 2008)

    PUTRAJAYA 25 Julai – Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan hari ini mencadangkan supaya Parlimen meminda Seksyen 97(2)(4) Akta Kanak-Kanak 2001 bagi memperbetulkannya kerana akta itu didapati tidak menyediakan peruntukan hukuman untuk dijatuhkan terhadap kanak-kanak yang disabitkan atas kesalahan membunuh.
  • Hakim Datuk Gopal Sri Ram yang mengetuai sidang mahkamah itu di sini bersama Hakim Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin dan Hakim Datuk Md. Raus Sharif membuat cadangan tersebut ketika membebaskan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang didapati bersalah menyebabkan kematian anak perempuan guru tuisyennya. Remaja itu menikam anak guru berkenaan sebanyak 22 kali pada tahun 2002. Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 1 Julai 2003 mendapatinya bersalah atas tuduhan membunuh Liew Mei Fong yang berusia 11 tahun di sebuah rumah di Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada 30 Mei 2002.
  • Ketika melakukan kesalahan itu, remaja tersebut baru berusia 12 tahun sembilan bulan. Hukuman terhadap remaja itu diputuskan mengikut peruntukan Seksyen 97(2) Akta Kanak-Kanak 2001 yang telah diketepikan oleh Mahkamah Rayuan dengan alasan pelaksanaan akta itu melanggar Perlembagaan Persekutuan.
  • Namun, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan kesalahan membunuh yang diputuskan terhadap remaja tersebut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Di bawah seksyen itu, jika disabitkan kesalahan yang melibatkan orang dewasa, ia membawa hukuman mati. Mengikut Akta Kanak-Kanak 2001, tertuduh jika didapati bersalah tidak akan dihukum mati sebaliknya ditahan di satu tempat selagi diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong. Keputusan Mahkamah Rayuan hari ini mengenai bidang kuasa akta itu mencatatkan satu lagi sejarah perundangan di negara ini dan yang pertama membabitkan kes jenayah serius di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.
  • Remaja lelaki itu yang dibebaskan pagi ini melangkah keluar dari bangunan mahkamah di Putrajaya untuk pulang ke rumah bersama ibu bapa serta kakaknya. Dia telah ditahan berasingan dengan pesalah lain di Penjara Kajang sejak lebih lima tahun lalu dan kini merupakan seorang pelajar tingkatan enam rendah. Pada tahun lalu dia menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di dalam penjara dan memperoleh pangkat tiga termasuk kepujian dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris.
  • Pihak media yang dilarang mendedahkan identiti remaja berkenaan dibenarkan mendekatinya dan bertanya khabar ketika dia menemui peguam belanya, Karpal Singh untuk mengucapkan terima kasih.“Saya ingin melanjutkan pelajaran dan bercita-cita hendak menjadi seorang peguam,’’ kata remaja itu dalam nada gembira. Anggota keluarganya melihat remaja yang bertubuh sederhana dan berambut pendek itu dengan pandangan penuh kegembiraan. Remaja itu yang telah menghabiskan masa di tempat tahanan dengan membaca buku dan sering bermain bola sepak dengan kawan-kawan memberitahu, dia rindukan masakan ibunya dan tidak sabar untuk bersama semula dengan keluarga.
  • Pada 13 Julai lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan memutuskan sebulat suara membenarkan rayuan remaja lelaki itu bagi mengetepikan hukuman ditahan selama yang diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong. Bagaimanapun, rayuan remaja itu untuk mengetepikan sabitan kesalahannya ditolak kerana Mahkamah Rayuan bersetuju dengan penghakiman Mahkamah Tinggi yang dianggap telah dibuat secara selamat.
  • Pada tahun 2003, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Maarop memutuskan remaja itu ditahan di satu tempat selagi diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong mengikut peruntukan Seksyen 97(2) Akta Kanak-Kanak 2001. Hakim Sri Ram ketika memutuskan mengetepikan hukuman itu pada 13 Julai lalu menegaskan bahawa peruntukan Seksyen 97(2) Akta Kanak-Kanak 2001 dengan jelas memberi kuasa memutuskan bentuk hukuman bagi pesalah juvenil yang membunuh kepada Badan Eksekutif. Sedangkan, katanya, Perlembagaan Persekutuan yang memartabatkan doktrin pengasingan kuasa antara cabang kerajaan telah memperuntukkan kuasa menghukum pesalah kepada Badan Kehakiman iaitu mahkamah.
  • ‘‘Memandangkan Perkara 4(1) Perlembagaan Persekutuan mengisytiharkan perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi, tindakan yang melanggar doktrin pengasingan kuasa wajib dilihat sebagai tidak berperlembagaan,” katanya.
  • Hari ini panel tiga hakim itu mencapai keputusan sebulat suara membebaskan remaja tersebut selepas mendengar hujahan Timbalan Pendakwa Raya, Yaacob Sam dan peguam Karpal Singh untuk menentukan tempat tahanan remaja tersebut. Hakim Sri Ram berkata: “Terdapat peruntukan dalam undang-undang kita yang melarang tertuduh daripada dihukum sebat. Oleh itu terserahlah kepada Parlimen untuk mengeluarkan arahan tidak dikenakan hukuman mati ke atas kanak-kanak.
  • “Kami tidak berpendapat untuk menjatuhkan hukuman mati ke atas perayu. Apakah hukuman yang diperuntukkan (dalam akta itu), jawapannya adalah tidak ada,’’ jelasnya. Bagaimanapun, panel tiga hakim itu tidak bersetuju dengan pandangan Karpal untuk menimbangkan hujahannya di bawah Perkara 7(1) Perlembagaan Persekutuan mengenai perlindungan daripada undang-undang jenayah yang berkuat kuasa kebelakangan dan perbicaraan berulang. Karpal Singh sebelum ini dalam hujahnya tidak menafikan perbuatan anak guamnya namun menerangkan bahawa peruntukan hukuman tidak dinyatakan dalam Akta Kanak-Kanak 2001

ICJ dan Pulau Batu Putih

Batu Putih hak Singapura - ICJ juga putuskan Middle Rocks kepunyaan Malaysia
(Utusan Malaysia : 24.5.2008)

  • THE HAGUE, Belanda 23 Mei– Pertikaian mengenai statu Pulau Batu Putih yang berlarutan selama 28 tahun akhirnya diputuskan hari ini oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di sini dengan menyerahkan kedaulatan pulau tersebut kepada Singapura.
  • Dalam penghakiman kira-kira sejam 45 minit itu, ICJ turut memutuskan bahawa Middle Rocks yang terletak kira-kira 0.5 batu nautika di selatan Pulau Batu Putih menjadi milik Malaysia manakala status satu lagi bentuk maritim iaitu South Ledge akan menjadi milik negara di perairan mana pulau itu terletak.
  • Pemangku Presiden ICJ, Hakim Awn Shawkat Al-Khasawneh ketika membaca keputusan kes tuntutan bertindih itu berkata, status mengenai kedaulatan ke atas Pulau Batu Putih diputuskan oleh majoriti 12-4 hakim, manakala majoriti 15-1 hakim pula bersetuju berhubung kedudukan Middle Rocks dan South Ledge.
  • Penyerahan kedaulatan Pulau Batu Putih yang dari sudut sejarahnya adalah milik Kesultanan Johor diputuskan oleh ICJ berdasarkan kepada surat balasan pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri Johor pada tahun 1953 yang menyebut Johor tidak menuntut hak milik ke atas Pedra Branca, iaitu nama dalam bahasa Portugis bagi Pulau Batu Putih.
    “Jawapan balas itu adalah berkaitan dengan pulau tersebut secara keseluruhannya dan bukan semata-mata rumah api.
  • “Apabila surat itu dibaca dalam konteks permintaan oleh Singapura mengenai maklumat status Pulau Batu Putih, adalah menjadi bukti bahawa surat berkenaan menyentuh isu kedaulatan pulau tersebut.
  • “Oleh itu mahkamah menyimpulkan bahawa surat jawapan itu jelas menunjukkan bahawa mulai tahun 1953, Johor maklum ia tidak lagi mempunyai kedaulatan ke atas Pedra Branca/Pulau Batu Putih,” kata Shawkat yang mempengerusikan persidangan ICJ bagi memutuskan tuntutan bertindih ke atas Pulau Batu Putih, Middle Rocks dan South Ledge. Beliau bersidang bersama 15 orang hakim lain.
  • Tuntutan ke atas Pulau Batu Putih bermula pada 14 Februari 1980 apabila Singapura mengemukakan nota bantahan kepada Malaysia menuntut pulau itu sebagai sebahagian daripada wilayah berdaulatnya.
  • Tuntutan Singapura ke atas Middle Rocks dan South Ledge pula hanya timbul pada 6 Februari 1993 ketika berlangsungnya perbincangan dua hala di antara kedua-dua negara berhubung pertikaian Pulau Batu Putih.
  • Keputusan mahkamah itu adalah muktamad dan tiada mekanisme rayuan bagi keputusan ICJ yang merupakan badan perundangan tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
    Malaysia dan Singapura melalui satu perjanjian yang dimeterai di Putrajaya pada 6 Februari 2003 bersetuju untuk merujuk pertikaian sempadan berhubung Pulau Batu Putih kepada ICJ.
  • Perjanjian yang ditandatangani pada 9 Februari 2003 dan berkuat kuasa pada 9 Mei tahun sama itu antara lain berbunyi, “Melalui Perjanjian Khas, kedua-dua pihak memohon kepada ICJ untuk menentukan kedaulatan Pedra Branca/Pulau Batu Putih, Middle Rocks dan South Ledge milik Malaysia atau Singapura. Kedua-dua negara akan menerima keputusan mahkamah sebagai muktamad dan mengikat kedua-dua pihak.”
  • Selepas menghantar memorial (hujah bertulis), kedua-dua negara memulakan hujah lisan pada 6 hingga 23 November lalu.
  • Memetik penghakiman kes tersebut secara lebih terperinci, Shawkat berkata, fakta kes menunjukkan bahawa sebaik sahaja menerima surat balasan dari Johor, Setiausaha Koloni Singapura telah menghantar satu memorandum dalaman kepada Peguam Negara yang menyebut bahawa beliau berpendapat “berdasarkan kekuatan surat jawapan itu, kita boleh menuntut Pedra Branca.”
  • Selain surat dari Johor pada 1953, mahkamah turut berpandukan kepada fakta kes berhubung tindak tanduk United Kingdom dan Singapura di Pulau Batu Putih yang menurut ICJ tidak terbatas kepada penyelenggara rumah api semata-mata.
  • Shawkat berkata, mahkamah berpendapat bahawa tindakan-tindakan Singapura termasuk menyiasat kemalangan marin di perairan pulau tersebut, kawalan mereka terhadap siri lawatan, pemasangan peralatan komunikasi kapal dan pelan penambakan lautnya jelas menunjukkan wujud a titre de souverain (tindak tanduk yang menunjukkan ia mempunyai kedaulatan) terutama selepas tahun 1953.
  • Malaysia, katanya, tidak menunjukkan tindak balas dalam bentuk apa sekali pun terhadap kegiatan-kegiatan Singapura malah pihak berkuasa Johor gagal melakukan sebarang tindakan ke atas Pulau Batu Putih bermula dari Jun 1850.
  • Lebih daripada itu, jelas beliau, keputusan mahkamah memihak kepada Singapura didorong oleh fakta republik itu bertindak mengeluarkan kebenaran kepada pegawai-pegawai dari Malaysia yang datang ke pulau berkenaan pada tahun 1978 bagi menjalankan kajian perairan di sekeliling Pulau Batu Putih.

Tuntutan

  • “Tindak tanduk itu dilihat menunjukkan wujudnya kedaulatan dan memberi sokongan yang amat penting kepada tuntutan Singapura terhadap kedaulatan Pedra Branca/Pulau Batu Putih,” kata Shawkat.
  • Shawkat yang mengetuai kumpulan 16 hakim termasuk dua hakim ad hoc yang masing-masing dilantik oleh Malaysia dan Singapura turut menarik perhatian mahkamah mengenai kegagalan Malaysia membantah pengibaran panji-panji British dan Singapura di Rumah Api Horsburgh di pulau itu yang turut memberi kesan kepada kes tuntutan bertindih itu.
  • Selain itu, enam peta yang dikeluarkan oleh Malaysia antara tahun 1962 dan 1975 yang dipertikaikan oleh Singapura kerana tertera perkataan ‘Lighthouse, P. Batu Puteh, (Horsburgh) (SINGAPORE) atau (SINGAPURA)' di Pulau Batu Putih turut menjadi rujukan ICJ yang disifatkan oleh barisan hakim sebagai mengesahkan bahawa Malaysia menganggap pulau itu adalah di bawah kedaulatan republik berkenaan.
  • “Mahkamah membuat kesimpulan berdasarkan titre de souverain Singapura, selain tindak-tanduk Malaysia termasuk kegagalannya untuk bertindak balas terhadap tindakan-tindakan republik itu, bahawa pada 1980 kedaulatan Pedra Branca/Pulau Batu Putih telah diserahkan kepada Singapura,” katanya.
  • Mengenai Middle Rocks, Shawkat berkata, bentuk maritim itu mempunyai status undang-undang yang sama dengan Pulau Batu Putih dari sudut sejarahnya iaitu kedaulatannya adalah di bawah kesultanan Johor.
  • Katanya, mengambil kira fakta tersebut, penyerahan Pulau Batu Putih kepada Singapura yang didorong oleh surat pada 1953 dan kegagalan Malaysia bertindak balas terhadap tindak tanduk republik itu tidak memberi kesan kepada Middle Rocks.
  • Oleh itu, jelas Shawkat, hak milik asal Middle Rocks kekal kepada Malaysia yang mewarisi kesultanan Johor, kecuali terbukti sebaliknya di mana mahkamah mendapati Singapura tidak mengemukakan sebarang bukti yang bertentangan.
  • Dalam keputusan mengenai hak milik South Ledge pula, kata Shawkat, mahkamah berpendapat bentuk maritim itu berada di perairan bertindih antara Pulau Batu Putih yang kini menjadi milik Singapura dan Middle Rocks yang kekal bersama Malaysia.
  • “Mahkamah hanya diminta untuk memutuskan kedaulatan ketiga-tiga bentuk maritim itu secara berasingan dan pada masa yang sama mahkamah tidak diberi kuasa untuk menetapkan garis persempadanan wilayah perairan Malaysia dan Singapura.
  • “Dalam hal ini, mahkamah merumuskan kedaulatan South Ledge adalah milik negara yang perairannya terletak bentuk maritim itu,” kata beliau.
  • Delegasi Malaysia ke ICJ hari ini diketuai oleh Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim; Ejen Malaysia dan Duta Tugas-Tugas Khas, Tan Sri Abdul Kadir Mohamad; Ejen Bersama, Datuk Noor Farida Ariffin; Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail; Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Tan Sri Rastam Mohd. Isa; dan Timbalan Setiausaha (Pembangunan) Kerajaan Negeri Johor.
  • Barisan peguam antarabangsa yang mewakili Malaysia pula terdiri daripada Sir Elihu Lauterpacht, James Crawford, Nicolaas Jan Schrijver, Marcelo G. Kohen, dan Penelope Nevill. Lauterpacht bagaimanapun tidak hadir hari ini.
  • Singapura pula diwakili antara lain oleh Timbalan Perdana Menteri, S. Jayakumar

Followers