Sunday, December 26, 2010

Tumbuh-Tumbuhan Penyebab Dermatitis

Oleh: CHE NIN MAN (PUSAT RACUN NEGARA, USM)

Negara kita kaya dengan tumbuh-tumbuhan yang menghijau sepanjang tahun. Pelbagai tumbuh-tumbuhan telah digunakan dalam amalan perubatan tradisional sama ada di kalangan masyarakat Melayu, Cina, India atau Orang Asli. Dewasa ini orang ramai telah mula cenderung untuk mengamalkan perubatan menggunakan tumbuhan sebagai alternatif kepada perubatan moden. Di antara tumbuh-tumbuhan tersebut ada yang telah di komersialkan seperti Tongkat Ali dan Kacip Fatimah.

Namun demikian terdapat juga banyak tumbuh-tumbuhan beracun di negara kita, di antaranya ialah Cempaka Hutan, Beridin, Dokong Anak, Jarak, Kechubong, Hempedu Bumi dan sebagainya. Tumbuh-tumbuhan beracun ini mampu memberi kesan keracunan melalui sentuhan, terhidu atau termakan.

Dermatitis adalah sejenis penyakit yang berkaitan dengan keradangan pada kulit. Terdapat beberapa jenis dermatitis yang boleh disabitkan dengan pendedahan kepada tumbuh-tumbuhan. Ada di antara dermatitis ini boleh memberi kesan sistemik dan biasanya mengambil masa antara satu hingga tiga minggu untuk sembuh. Berikut adalah jenis-jenis dermatitis akibat pendedahan tersebut:

Kesan Alahan
Kesan alahan berlaku apabila seseorang individu itu sensitif kepada sesuatu jenis alergen seperti debu, debunga atau bahan kimia tertentu di dalam tumbuh-tumbuhan. Kesan ini dikenali melalui kewujudan tompokan merah, gatal, keras dan melepuh pada kulit. Biasanya kesan ini timbul setelah lima hingga tujuh hari dari hari sentuhan berlaku. Kesan alahan ini akan timbul semula apabila sentuhan terhadap tumbuh-tumbuhan tertentu berlaku. Kesan alahan dapat dikenal pasti melalui ujian alahan. Contoh tumbuh-tumbuhan yang menyebabkan kesan alahan jenis ini ialah bawang putih atau Alium sativum yang mengandungi S -2-propenil-L-sulfoksida sistina, atau juga dikenali sebagai alliin yang menghasilkan minyak bersulfida seperti di-alil-disulfida yang merupakan allergen utama di dalam bawang putih.

Lain-lain tumbuhan yang menyebabkan alahan biasanya adalah dari famili Compositae, Magnoliaceae, Amaranthaceae, Alliaceae dan lain-lain.

Keradangan Kimia atau Perengsa
Keradangan kimia ialah kesan langsung bahan kimia yang terdapat di dalam tumbuh-tumbuhan. Ia dikenali melalui tanda kemerahan, sakit, rasa seperti terbakar, bengkak, gatal, lebam dan lecur pada kulit yang wujud dalam tempoh 24 jam setelah tersentuh. Tumbuh-tumbuhan yang terlibat biasanya dari famili Euphorbiaceae, Brassicaceae, Ranunculaceae, Anacardiaceae, Agavaceae dan Araceae. Bahan kimia ini selalunya berada di dalam getah, cecair tumbuh-tumbuhan, sel atau kelenjar dalam tumbuh-tumbuhan. Di antara bahan kimia yang boleh menyebabkan keradangan ini ialah asid oksalik, kalsium oksalat, sinamik aldehid, koniferil benzoat, sitral, delta-3-karena, asid abetik, kostunolid, atranorin, histamine, asetilkolin, 5-hidroksitriptamina dan lain-lain.

Fotodermatitis
Fotodermatitis menyebabkan kulit seseorang menjadi sensitif kepada cahaya setelah tersentuh tumbuh-tumbuhan tertentu. Di antara kesan fotodermatitis ialah gatal, kemerahan, bengkak, melepuh dan hiperpigmentasi atau perubahan warna kulit. Contohnya, psoralens yang terdapat di dalam limau nipis akan menunjukkan kesan toksik pada cahaya matahari setelah beberapa jam dari masa sentuhan berlaku.


Kecederaan Mekanikal
Kecederaan ini biasanya berlaku akibat tercucuk duri, gerigi, jejarum, bulu sisik atau bahagian tajam pada tumbuh-tumbuhan dan seterusnya merebak melalui jangkitan bakteria atau kulat. Biasanya tumbuh-tumbuhan yang mampu menyebabkan kecederaan jenis ini adalah dari famili Cactaceae (kaktus), Palmae (palma), Acanthaceae, Agavaceae dan Euphorbia L.

Rawatan

  1. Jauhi dari tumbuh-tumbuhan tersebut. Buangkan duri atau sisa tumbuh-tumbuhan pada
    kulit
  2. Tanggalkan pakaian yang meliputi bahagian yang luka.
  3. Basuh kawasan sentuhan dengan air dan sabun.
  4. Jika masih terasa sakit dapatkan rawatan perubatan. Rawatan biasanya melibatkan
    ubat sapuan jenis kortikosteroid dan ubat yang diambil secara oral iaitu antihistamin.
  5. Kesan alahan dan fotodermatitis hanya wujud setelah beberapa hari, oleh itu cara terbaik
    adalah dengan mengelak diri dari tumbuh-tumbuhan yang memudaratkan.

Cara Pencegahan

  1. Mengenali tumbuh-tumbuhan yang berbahaya dan tidak berbahaya di sekitar kawasan rumah.
  2. Jangan menanam tumbuh-tumbuhan yang diketahui beracun sebagai perhiasan rumah
  3. Mengajar kanak-kanak tentang tumbuh-tumbuhan beracun yang terdapat di sekitar rumah dan di kawasan mereka sering bermain,.dan melarang mereka bermain dengan tumbuh-tumbuhan tersebut. Jangan membakar tumbuh-tumbuhan beracun kerana asapnya mungkin berbahaya.

Wednesday, August 11, 2010

PEMANASAN GLOBAL PUNCA BENCANA

Berita Harian
12.0802010

Pakar PBB dakwa banjir landa Pakistan, China terburuk dalam sejarah

LONDON: Pakar perubahan iklim berkata, fenomena pemanasan global kemungkinan menjadi punca tercetusnya banjir besar di Pakistan, kebakaran hutan di Russia dan tanah runtuh di China sekarang.

Hampir 14 juta orang terjejas oleh banjir di Pakistan menjadikan bencana itu lebih buruk daripada kejadian tsunami 2004 dan gempa bumi di Kashmir dan Haiti. Bencana banjir terbaru itu yang dianggap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terburuk dalam sejarah terdekat, disebabkan oleh kehadiran supercharged jet stream atau gelungan besar angin kencang yang juga dikatakan menjadi punca banjir di China dan cuaca panas berpanjangan di Russia yang menyebabkan kebakaran hutan. Pakar PBB dari beberapa universiti di seluruh dunia berkata, fenomena cuaca ekstrem dialami sekarang membuktikan kesan pemanasan global semakin dirasai.

Jean-Pascal van Ypersele, naib presiden IPCC, badan PBB yang ditugaskan untuk memantau pemanasan global, berkata cuaca ekstrem itu adalah konsisten dengan perubahan iklim yang dibawa oleh aktiviti manusia.

Cuaca ekstrim dialami sekarang terus dicetus dan diburukkan lagi oleh fenomena pencemaran rumah hijau yang terhasil daripada aktiviti manusia. katanya.

PBB berkata, banjir melanda Pakistan sekarang adalah krisis kemanusiaan terburuk sejak beberapa tahun lalu dengan 13.8 juta orang terjejas dan 1,600 orang terkorban setakat ini.
Banjir dan tanah runtuh yang melanda China sejak tiga hari lalu sudah menyebabkan 702 orang terkorban dan lebih 1,000 orang dilaporkan hilang, di samping menyebabkan kerosakan berbilion dolar di 28 wilayah.

Di RUSSIA, rumah mayat hampir penuh di Moscow ketika negara itu dilanda kebakaran hutan yang dicetuskan cuaca panas terburuk sejak 130 tahun lalu.

Ketua pemantauan iklim di Pejabat Meteorologi Britain, Dr Peter Stott, berkata hampir mustahil untuk menyatakan fenomena cuaca ekstrem dialami semata-mata disebabkan pemanasan global.

Namun beliau berkata, wujud bukti jelas peningkatan kekerapan fenomena cuaca
ekstrem berikutan pemanasan global.

Dr Stott berkata, pemanasan global dikatakan menjadi punca kepada fenomena cuaca ekstrem kerana apabila atmosfera lebih panas ia mempunyai keupayaan untuk menampung lebih banyak air dan berikutan itu mencetuskan hujan lebat dan banjir yang lebih teruk seperti disaksikan di Pakistan dan China. Agensi

Saturday, June 19, 2010

Pendatang Asing Tanpa Izin

Ekonomi Malaysia kebelakangan ini berkembang dengan pesat. Projek pembangunan raksasa berjalan dengan lancar. Sebagai hasilnya, wujudlah peluang pekerjaan yang meluas dan timbul masalah kekurangan tenaga kerja. Jadi, Malaysia kini menjadi tumpuan pendatang asing yang ingin mencari rezeki lumayan. Namun kemasukan pendatang asing tanpa izin yang banyak telah menimbulkan pelbagai masalah.

Masalah utama ialah kesulitan yang dihadapi oleh kerajaan untuk membanteras kemasukan pendatang asing tanpa izin ini. Pihak polis, tentera, dan Jabatan Imigresen terpaksa bekerja keras untuk memberkas mereka. Mereka ditahan dan ditempatkan di kem tahanan sementara. Kedutaan asing pula kurang bekerjasama. Kedutaan asing enggan mengeluarkan dokumen perjalanan sementara kepada rakyatnya supaya mereka dapat dihantar balik. Kedutaan asing juga enggan membiayai kos penghantaran pulang. Hal ini menyebabkan banyak tenaga, wang, dan masa kerajaan terbazir dalam usaha mencegah kemasukan pendatang tanpa izin.

Keselamatan sosial kita juga terancam. Ada antara pendatang asing tanpa izin ini merupakan penjenayah yang dikehendaki oleh pihak berkuasa di negara asal mereka. Mereka melarikan diri ke Malaysia supaya terlepas daripada serbuan pihak berkuasa negara asal mereka. Malangnya, mereka terus melakukan jenayah di sini. Kes-kes rompakan, pembunuhan, dan rogol sering berlaku. Mangsa akan menanggung trauma sepanjang masa. Malahan sesetengah taman perumahan dimasuki pencuri setiap mal am buat satu tempoh yang panjang. Hal ini menyebabkan penduduk tempatan hidup dalam ketakutan. Kes-kes penjenayah warga Indonesia ditembak mati dalam serbuan polis bukanlah kes yang luar biasa lagi. Malah tentera kita terpaksa dikerah ke Semporna, Sabah, untuk menghadapi lanun Filipina yang menggunakan senjata canggih untuk melakukan rompakan pada siang hari.

Penyakit-penyakit berbahaya juga akan merebak dengan meluas. Buruh asing yang sah akan dikenakan pemeriksaan kesihatan. Sebaliknya, pendatang asing tanpa izin tidak berbuat demikian. Banyak antara mereka berasal dari kawasan mundur di negara asal mereka. Kesihatan mereka kurang terjamin. Ada antara mereka menghidap AIDS, tibi, penyakit kelamin, dan sebagainya. Akibatnya, rakyat kita menjadi mangsa. Statistik telah menunjukkan bilangan rakyat yang menghidap penyakit tibi meningkat semula. Banyak pendatang asing tanpa izin juga disahkan sebagai pembawa kuman HIV dan hepatitis. Hubungan mereka secara seksual dengan pelacur tempatan akan mempercepat jangkitan AIDS.

Kedatangan pendatang asing, khususnya yang tanpa izin, juga mendatangkan masalah perumahan. Mereka akan mendirikan kawasan perumahan secara haram. Sesetengah kumpulan pendatang asing ini pula membuka kawasan hutan sebagai kawasan perumahan mereka. Kawasan setinggan ini tidak teratur dan kekurangan kemudahan asas, seperti sistem pembuangan sampah dan air kumbahan. Oleh itu, pencemaran alam sekitar akan berlaku. Selain itu, pembangunan negara pada mas a akan datang juga terbantut kerana kemunculan setinggan ini. Imej negara kita juga terjejas kerana ini menggambarkan kelemahan pentadbiran kerajaan serta pengagihan ekonomi yang tidak seimbang. Terdapat juga kawasan perkampungan haram yang mewah, lengkap dengan bekalan elektrik, dan air.

Hak rakyat kita juga sedikit sebanyak terjejas. Pihak majikan lebih suka mengupah pendatang asing tanpa izin dalam sektor perladangan, pembinaan, dan pembantu rumah kerana gaji mereka jauh lebih murah. Hal ini pasti menjejaskan peluang pekerjaan rakyat kita sungguhpun bukan semua rakyat kita berminat dalam bidang pekerjaan ini. Selain itu, banyak antara mereka melibatkan diri dalam perniagaan, misalnya membuka gerai makanan, menjual barang kemas, lampu hiasan, batik dan sebagainya. Malah ada antara mereka yang menjadi kaya-raya, berumah besar tanpa membayar cukai pendapatan. Pada ketika nilai wang kita jatuh dengan teruknya, peluang pekerjaan rakyat semakin sempit. Hal ini memang tidak adil kepada rakyat kita.

Kita memerlukan tenaga asing dalam pembangunan negara. Namun kehadiran mereka, terutamanya golongan tanpa izin, juga menimbulkan masalah. Kerajaan perlu menangani masalah ini dengan serius supaya rakyat kita tidak menjadi minoriti di tanah airnya sendiri.

http://mazlan66.wordpress.com

Sunday, June 13, 2010

Kontroversi Pengklonan Manusia

PRESIDEN Pengklonan Manusia (Clonaid), Dr Brigitte Boisselier, yang bertanggungjawab ‘melahirkan’ Eve, 26 Disember lalu menyifatkan kelahiran bayi itu sebagai suatu rahmat. Kelahiran bayi itu, katanya, bukan saja menggembirakan ibu bapa bayi terbabit malah memberi harapan kepada pasangan yang bermasalah untuk mendapatkan anak. Eve dikatakan diklon daripada ibunya, seorang warga Amerika Syarikat berusia 31 tahun. Pengklonan Eve dilakukan selepas wanita itu dan suaminya gagal mendapat anak disebabkan suaminya mandul.

Walaupun ramai yang mempertikaikan kesahihan dakwaan saintis aliens ini (saintis terbabit percaya manusia dijadikan oleh makhluk asing atau aliens), kelahiran Eve sebenarnya menandakan bermulanya satu era baru dalam kelahiran manusia. Kelahiran pertama seorang bayi yang tidak mengikut hukum fitrah, tidak menerusi percampuran lelaki dan perempuan, persenyawaan air mani dan telur, sebaliknya dicambah melalui mana-mana sel badan manusia untuk menghasilkan penduaan.

Teknologi klon bukan sesuatu yang baru. Pengklonan dilakukan secara meluas khususnya dalam bidang pertanian melalui pengkulturan tisu, contohnya getah klon, durian malah kelapa sawit klon. Klon adalah replika atau pendua (fotostat) daripada sesuatu organisme.

Seperti teknik pengklonan biri-biri yang dilakukan oleh saintis di Institut Roslin di Edinburgh, Britain, Dr Ian Wilmut, klon manusia atau mana-mana organisme boleh dicipta dengan memindahkan nukleus (yang membawa maklumat genetik) daripada sel organisme yang dipilih ke dalam telur yang belum disenyawakan.

Nukleus telur itu dibuang, diganti dengan nukleus terpilih tadi dan dibiarkan menjalani proses persenyawaan tanpa menggunakan sperma (sel membahagi dan membiak di dalam makmal). Sel yang elok kemudian dipilih, dimasukkan ke dalam rahim ibu tumpang dan kemudian menjadi janin.

Klon yang dihasilkan ini menyamai atau hampir menyamai organisme asal. Paling tidak, klon yang terhasil ini mewarisi 90 peratus ciri organisme asal (penderma) dan turut membawa ciri-ciri (DNA) ibu tumpang.

Manusia klon adalah seperti pasangan kembar kepada penderma, cuma ia dilahirkan lewat berbanding kembarnya. Seperti pasangan kembar seiras normal, manusia klon ini dan pendermanya mempunyai cap jari yang berbeza.

Hakikatnya, pengklonan manusia memang bukan sesuatu yang mustahil. Apa yang perlu ialah pengetahuan, kepakaran dan peralatan yang lengkap. Namun, perlukah ia dilakukan? Apakah kebaikan menghasilkan manusia klon ini? Tidakkah ia melanggar ketentuan Tuhan, yang menetapkan bahawa kelahiran manusia atau keturunannya melalui perkahwinan.

Pelopor teknologi genetik, Prof James Watson, pernah berkata, teknologi genetik memungkinkan penciptaan manusia luar biasa (super human) atau human monster (makhluk ganjil). Pengubahsuaian (manipulasi) atau penjuruteraan gen yang dilakukan ke atas organisme klon akan melahirkan organisme yang mempunyai nilai tambahan.

(Prof Watson bertanggungjawab membongkar rahsia struktur molekul asid deoksiribonukleik (DNA) – bahan yang membawa pelbagai maklumat genetik organisme – lebih 45 tahun lalu, bersama-sama Francis Crick.)

Pengarah Bahagian Penyelidikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Mustafa Abdul Rahman, berkata pengklonan akan melahirkan manusia tanpa perkahwinan atau tanpa berlaku percampuran antara benih lelaki dan perempuan.

Perbuatan mengklon manusia dilihat sebagai usaha manusia untuk bertindak luar daripada peraturan yang ditentukan Allah iaitu kelahiran manusia atau keturunannya melalui perkahwinan. Perbuatan pengklonan akan melahirkan satu generasi manusia yang cuba merendah-rendahkan kejadian manusia yang dimuliakan Allah.

Pengklonan akan melahirkan generasi manusia yang boleh mencipta manusia dan akan melahirkan manusia yang akan menafikan kekuasaan Allah. Perbuatan ini menyebabkan manusia berasa dirinya mempunyai kuasa dan mampu untuk mencipta serta menentukan kejadian manusia lain menurut kehendak dirinya.

Ini akan menyeret manusia kepada kesesatan akidah kerana mereka beranggapan bahawa manusia juga boleh mencipta manusia sama seperti kekuasaan Allah mencipta kejadian alam ini.

“Pengklonan membuatkan seseorang wanita tidak memerlukan lelaki atau seorang isteri tidak memerlukan suami kerana wujud anggapan dia boleh melahirkan anak tanpa perlu kepada perkahwinan dan pembentukan keluarga,” katanya dalam kertas kerja bertajuk Pengklonan Pembiakan Manusia Dari Perspektif Islam.

Tokoh agama turut mempersoalkan taraf anak yang dihasilkan. Dalam proses pengklonan yang tidak memerlukan kewujudan sperma untuk melahirkan seorang bayi, persoalan akan timbul mengenai status DNA. Jika ia datang daripada suami keluarga terbabit, adakah si suami akan dianggap sebagai bapa kepada anak klon itu atau sebagai kembarnya?

Ini adalah perkara yang sangat berat dalam Islam kerana status nasab keturunan akan membabitkan pelbagai komplikasi dalam amalan kekeluargaan. Siapakah yang akan mewalikan pernikahan anak itu? Bagaimana hukum hakam hubungannya dengan ibu bapa dan keluarga?

Mufti Mesir, Dr Nasr Farid Wasil pada sidang akhbarnya 30 Jun 2002 menegaskan bahawa pengklonan manusia tidak harus pada pandangan syarak kerana menjejaskan beberapa perkara, termasuk hukum-hakam, kesihatan, kemasyarakatan dan perundangan.

Katanya, perbuatan mengklon bukan untuk kebaikan dan muslihat manusia sebaliknya akan membawa kecelakaan kepada manusia keseluruhannya.

Pada waktu yang sama, beliau menegaskan bahawa Islam tidak menegah dan tidak menentang pengklonan sel manusia jika untuk kebaikan. Contohnya, pengklonan yang dilakukan kepada sel manusia yang boleh dijadikan bahan untuk mengubati penyakit dengan syarat ia tidak menyebabkan berlaku percampuran keturunan.

Jawatankuasa Fatwa Majlis Agama Islam Singapura mengeluarkan fatwa yang mengharuskan pengklonan bagi menghasilkan organ gantian untuk kajian perubatan atau menggantikan organ yang telah rosak.

Kebimbangan ini tidak terhad kepada soal agama dan nilai kekeluargaan semata-mata. Wilmut, saintis yang bertanggungjawab ‘melahirkan’ Dolly (seekor biri-biri) menyifatkan perbuatan mengklon manusia sebagai ‘menjengkelkan’, sesuatu yang tidak seharusnya dilakukan kerana ia akan menjurus kepada peningkatan kes keguguran dan kematian di kalangan bayi yang baru lahir.

Saintis juga khuatir dengan risiko dalam aspek perubatan dan pelbagai ketidakpastian yang lain. Satu daripadanya ialah bayi yang diklon akan mempunyai kromosom yang sepadan dengan usia penderma. Bermakna bayi atau kanak-kanak klon berusia 5 tahun akan kelihatan seperti 10 tahun dan yang berusia 10 tahun akan kelihatan seperti berusia 20 tahun, di samping berpotensi untuk mendapat penyakit jantung dan kanser.

Ketua Unit Genetik Manusia, Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), Prof Dr Mohd Nizam Isa, berkata berdasarkan pengklonan Dolly dan haiwan lain sebelum ini, banyak produk klon mati sebaik saja dilahirkan, mempunyai keabnormalan genetik selain masalah pembentukan tisu dan organ.

“Dalam kes ini berapa banyakkah sel yang diklon, jumlah yang dipindahkan ke dalam ibu tumpang, jumlah yang mengalami keguguran atau yang cukup bulan dan mati selepas dilahirkan.

“Saya yakin dalam kes bayi Eve ini, ia tidak berlaku secara terus tanpa membabitkan faktor-faktor ini yang lazimnya berlaku ke atas pengklonan terdahulu,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, di sebalik persoalan dan kontroversi ini, dunia harus menerima hakikat bahawa teknologi nuclear transfer ini adalah teknologi dan alat yang hebat di abad ini.

Rata-rata, saintis sudah menguasai dan meningkatkan teknologi ini untuk kemajuan perubatan melalui pengklonan teraputik (terapi gen) untuk menghasilkan sel dan tisu tertentu, saraf, otot dan organ tertentu, malah untuk merawat penyakit tertentu seperti kanser, Alzheimer dan Parkinson.

Seperti kata Prof Mohd Nizam, kita bukan melakukan tugas Allah dalam urusan kejadian manusia. Perkara itu (termasuk kelahiran Eve) tidak akan berlaku jika ia tidak mendapat keizinan Allah.

Apa yang penting, sebarang kemusykilan membabitkan akidah, harus segera diperbetulkan menerusi perbincangan saintis dan ulama, sebelum umat Islam bertelingkah sesama sendiri sehingga mungkin memundurkan umat itu sendiri.


http://www.jphpk.gov.my

Sunday, February 7, 2010

Bunuh: Pelajar bebas -- Mahkamah Rayuan cadang pinda Akta Kanak-Kanak ekoran kes itu
  • (Utusan Malaysia : Julai 2008)

    PUTRAJAYA 25 Julai – Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan hari ini mencadangkan supaya Parlimen meminda Seksyen 97(2)(4) Akta Kanak-Kanak 2001 bagi memperbetulkannya kerana akta itu didapati tidak menyediakan peruntukan hukuman untuk dijatuhkan terhadap kanak-kanak yang disabitkan atas kesalahan membunuh.
  • Hakim Datuk Gopal Sri Ram yang mengetuai sidang mahkamah itu di sini bersama Hakim Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin dan Hakim Datuk Md. Raus Sharif membuat cadangan tersebut ketika membebaskan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang didapati bersalah menyebabkan kematian anak perempuan guru tuisyennya. Remaja itu menikam anak guru berkenaan sebanyak 22 kali pada tahun 2002. Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 1 Julai 2003 mendapatinya bersalah atas tuduhan membunuh Liew Mei Fong yang berusia 11 tahun di sebuah rumah di Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada 30 Mei 2002.
  • Ketika melakukan kesalahan itu, remaja tersebut baru berusia 12 tahun sembilan bulan. Hukuman terhadap remaja itu diputuskan mengikut peruntukan Seksyen 97(2) Akta Kanak-Kanak 2001 yang telah diketepikan oleh Mahkamah Rayuan dengan alasan pelaksanaan akta itu melanggar Perlembagaan Persekutuan.
  • Namun, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan kesalahan membunuh yang diputuskan terhadap remaja tersebut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Di bawah seksyen itu, jika disabitkan kesalahan yang melibatkan orang dewasa, ia membawa hukuman mati. Mengikut Akta Kanak-Kanak 2001, tertuduh jika didapati bersalah tidak akan dihukum mati sebaliknya ditahan di satu tempat selagi diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong. Keputusan Mahkamah Rayuan hari ini mengenai bidang kuasa akta itu mencatatkan satu lagi sejarah perundangan di negara ini dan yang pertama membabitkan kes jenayah serius di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.
  • Remaja lelaki itu yang dibebaskan pagi ini melangkah keluar dari bangunan mahkamah di Putrajaya untuk pulang ke rumah bersama ibu bapa serta kakaknya. Dia telah ditahan berasingan dengan pesalah lain di Penjara Kajang sejak lebih lima tahun lalu dan kini merupakan seorang pelajar tingkatan enam rendah. Pada tahun lalu dia menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di dalam penjara dan memperoleh pangkat tiga termasuk kepujian dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris.
  • Pihak media yang dilarang mendedahkan identiti remaja berkenaan dibenarkan mendekatinya dan bertanya khabar ketika dia menemui peguam belanya, Karpal Singh untuk mengucapkan terima kasih.“Saya ingin melanjutkan pelajaran dan bercita-cita hendak menjadi seorang peguam,’’ kata remaja itu dalam nada gembira. Anggota keluarganya melihat remaja yang bertubuh sederhana dan berambut pendek itu dengan pandangan penuh kegembiraan. Remaja itu yang telah menghabiskan masa di tempat tahanan dengan membaca buku dan sering bermain bola sepak dengan kawan-kawan memberitahu, dia rindukan masakan ibunya dan tidak sabar untuk bersama semula dengan keluarga.
  • Pada 13 Julai lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan memutuskan sebulat suara membenarkan rayuan remaja lelaki itu bagi mengetepikan hukuman ditahan selama yang diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong. Bagaimanapun, rayuan remaja itu untuk mengetepikan sabitan kesalahannya ditolak kerana Mahkamah Rayuan bersetuju dengan penghakiman Mahkamah Tinggi yang dianggap telah dibuat secara selamat.
  • Pada tahun 2003, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Maarop memutuskan remaja itu ditahan di satu tempat selagi diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong mengikut peruntukan Seksyen 97(2) Akta Kanak-Kanak 2001. Hakim Sri Ram ketika memutuskan mengetepikan hukuman itu pada 13 Julai lalu menegaskan bahawa peruntukan Seksyen 97(2) Akta Kanak-Kanak 2001 dengan jelas memberi kuasa memutuskan bentuk hukuman bagi pesalah juvenil yang membunuh kepada Badan Eksekutif. Sedangkan, katanya, Perlembagaan Persekutuan yang memartabatkan doktrin pengasingan kuasa antara cabang kerajaan telah memperuntukkan kuasa menghukum pesalah kepada Badan Kehakiman iaitu mahkamah.
  • ‘‘Memandangkan Perkara 4(1) Perlembagaan Persekutuan mengisytiharkan perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi, tindakan yang melanggar doktrin pengasingan kuasa wajib dilihat sebagai tidak berperlembagaan,” katanya.
  • Hari ini panel tiga hakim itu mencapai keputusan sebulat suara membebaskan remaja tersebut selepas mendengar hujahan Timbalan Pendakwa Raya, Yaacob Sam dan peguam Karpal Singh untuk menentukan tempat tahanan remaja tersebut. Hakim Sri Ram berkata: “Terdapat peruntukan dalam undang-undang kita yang melarang tertuduh daripada dihukum sebat. Oleh itu terserahlah kepada Parlimen untuk mengeluarkan arahan tidak dikenakan hukuman mati ke atas kanak-kanak.
  • “Kami tidak berpendapat untuk menjatuhkan hukuman mati ke atas perayu. Apakah hukuman yang diperuntukkan (dalam akta itu), jawapannya adalah tidak ada,’’ jelasnya. Bagaimanapun, panel tiga hakim itu tidak bersetuju dengan pandangan Karpal untuk menimbangkan hujahannya di bawah Perkara 7(1) Perlembagaan Persekutuan mengenai perlindungan daripada undang-undang jenayah yang berkuat kuasa kebelakangan dan perbicaraan berulang. Karpal Singh sebelum ini dalam hujahnya tidak menafikan perbuatan anak guamnya namun menerangkan bahawa peruntukan hukuman tidak dinyatakan dalam Akta Kanak-Kanak 2001

ICJ dan Pulau Batu Putih

Batu Putih hak Singapura - ICJ juga putuskan Middle Rocks kepunyaan Malaysia
(Utusan Malaysia : 24.5.2008)

  • THE HAGUE, Belanda 23 Mei– Pertikaian mengenai statu Pulau Batu Putih yang berlarutan selama 28 tahun akhirnya diputuskan hari ini oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di sini dengan menyerahkan kedaulatan pulau tersebut kepada Singapura.
  • Dalam penghakiman kira-kira sejam 45 minit itu, ICJ turut memutuskan bahawa Middle Rocks yang terletak kira-kira 0.5 batu nautika di selatan Pulau Batu Putih menjadi milik Malaysia manakala status satu lagi bentuk maritim iaitu South Ledge akan menjadi milik negara di perairan mana pulau itu terletak.
  • Pemangku Presiden ICJ, Hakim Awn Shawkat Al-Khasawneh ketika membaca keputusan kes tuntutan bertindih itu berkata, status mengenai kedaulatan ke atas Pulau Batu Putih diputuskan oleh majoriti 12-4 hakim, manakala majoriti 15-1 hakim pula bersetuju berhubung kedudukan Middle Rocks dan South Ledge.
  • Penyerahan kedaulatan Pulau Batu Putih yang dari sudut sejarahnya adalah milik Kesultanan Johor diputuskan oleh ICJ berdasarkan kepada surat balasan pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri Johor pada tahun 1953 yang menyebut Johor tidak menuntut hak milik ke atas Pedra Branca, iaitu nama dalam bahasa Portugis bagi Pulau Batu Putih.
    “Jawapan balas itu adalah berkaitan dengan pulau tersebut secara keseluruhannya dan bukan semata-mata rumah api.
  • “Apabila surat itu dibaca dalam konteks permintaan oleh Singapura mengenai maklumat status Pulau Batu Putih, adalah menjadi bukti bahawa surat berkenaan menyentuh isu kedaulatan pulau tersebut.
  • “Oleh itu mahkamah menyimpulkan bahawa surat jawapan itu jelas menunjukkan bahawa mulai tahun 1953, Johor maklum ia tidak lagi mempunyai kedaulatan ke atas Pedra Branca/Pulau Batu Putih,” kata Shawkat yang mempengerusikan persidangan ICJ bagi memutuskan tuntutan bertindih ke atas Pulau Batu Putih, Middle Rocks dan South Ledge. Beliau bersidang bersama 15 orang hakim lain.
  • Tuntutan ke atas Pulau Batu Putih bermula pada 14 Februari 1980 apabila Singapura mengemukakan nota bantahan kepada Malaysia menuntut pulau itu sebagai sebahagian daripada wilayah berdaulatnya.
  • Tuntutan Singapura ke atas Middle Rocks dan South Ledge pula hanya timbul pada 6 Februari 1993 ketika berlangsungnya perbincangan dua hala di antara kedua-dua negara berhubung pertikaian Pulau Batu Putih.
  • Keputusan mahkamah itu adalah muktamad dan tiada mekanisme rayuan bagi keputusan ICJ yang merupakan badan perundangan tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
    Malaysia dan Singapura melalui satu perjanjian yang dimeterai di Putrajaya pada 6 Februari 2003 bersetuju untuk merujuk pertikaian sempadan berhubung Pulau Batu Putih kepada ICJ.
  • Perjanjian yang ditandatangani pada 9 Februari 2003 dan berkuat kuasa pada 9 Mei tahun sama itu antara lain berbunyi, “Melalui Perjanjian Khas, kedua-dua pihak memohon kepada ICJ untuk menentukan kedaulatan Pedra Branca/Pulau Batu Putih, Middle Rocks dan South Ledge milik Malaysia atau Singapura. Kedua-dua negara akan menerima keputusan mahkamah sebagai muktamad dan mengikat kedua-dua pihak.”
  • Selepas menghantar memorial (hujah bertulis), kedua-dua negara memulakan hujah lisan pada 6 hingga 23 November lalu.
  • Memetik penghakiman kes tersebut secara lebih terperinci, Shawkat berkata, fakta kes menunjukkan bahawa sebaik sahaja menerima surat balasan dari Johor, Setiausaha Koloni Singapura telah menghantar satu memorandum dalaman kepada Peguam Negara yang menyebut bahawa beliau berpendapat “berdasarkan kekuatan surat jawapan itu, kita boleh menuntut Pedra Branca.”
  • Selain surat dari Johor pada 1953, mahkamah turut berpandukan kepada fakta kes berhubung tindak tanduk United Kingdom dan Singapura di Pulau Batu Putih yang menurut ICJ tidak terbatas kepada penyelenggara rumah api semata-mata.
  • Shawkat berkata, mahkamah berpendapat bahawa tindakan-tindakan Singapura termasuk menyiasat kemalangan marin di perairan pulau tersebut, kawalan mereka terhadap siri lawatan, pemasangan peralatan komunikasi kapal dan pelan penambakan lautnya jelas menunjukkan wujud a titre de souverain (tindak tanduk yang menunjukkan ia mempunyai kedaulatan) terutama selepas tahun 1953.
  • Malaysia, katanya, tidak menunjukkan tindak balas dalam bentuk apa sekali pun terhadap kegiatan-kegiatan Singapura malah pihak berkuasa Johor gagal melakukan sebarang tindakan ke atas Pulau Batu Putih bermula dari Jun 1850.
  • Lebih daripada itu, jelas beliau, keputusan mahkamah memihak kepada Singapura didorong oleh fakta republik itu bertindak mengeluarkan kebenaran kepada pegawai-pegawai dari Malaysia yang datang ke pulau berkenaan pada tahun 1978 bagi menjalankan kajian perairan di sekeliling Pulau Batu Putih.

Tuntutan

  • “Tindak tanduk itu dilihat menunjukkan wujudnya kedaulatan dan memberi sokongan yang amat penting kepada tuntutan Singapura terhadap kedaulatan Pedra Branca/Pulau Batu Putih,” kata Shawkat.
  • Shawkat yang mengetuai kumpulan 16 hakim termasuk dua hakim ad hoc yang masing-masing dilantik oleh Malaysia dan Singapura turut menarik perhatian mahkamah mengenai kegagalan Malaysia membantah pengibaran panji-panji British dan Singapura di Rumah Api Horsburgh di pulau itu yang turut memberi kesan kepada kes tuntutan bertindih itu.
  • Selain itu, enam peta yang dikeluarkan oleh Malaysia antara tahun 1962 dan 1975 yang dipertikaikan oleh Singapura kerana tertera perkataan ‘Lighthouse, P. Batu Puteh, (Horsburgh) (SINGAPORE) atau (SINGAPURA)' di Pulau Batu Putih turut menjadi rujukan ICJ yang disifatkan oleh barisan hakim sebagai mengesahkan bahawa Malaysia menganggap pulau itu adalah di bawah kedaulatan republik berkenaan.
  • “Mahkamah membuat kesimpulan berdasarkan titre de souverain Singapura, selain tindak-tanduk Malaysia termasuk kegagalannya untuk bertindak balas terhadap tindakan-tindakan republik itu, bahawa pada 1980 kedaulatan Pedra Branca/Pulau Batu Putih telah diserahkan kepada Singapura,” katanya.
  • Mengenai Middle Rocks, Shawkat berkata, bentuk maritim itu mempunyai status undang-undang yang sama dengan Pulau Batu Putih dari sudut sejarahnya iaitu kedaulatannya adalah di bawah kesultanan Johor.
  • Katanya, mengambil kira fakta tersebut, penyerahan Pulau Batu Putih kepada Singapura yang didorong oleh surat pada 1953 dan kegagalan Malaysia bertindak balas terhadap tindak tanduk republik itu tidak memberi kesan kepada Middle Rocks.
  • Oleh itu, jelas Shawkat, hak milik asal Middle Rocks kekal kepada Malaysia yang mewarisi kesultanan Johor, kecuali terbukti sebaliknya di mana mahkamah mendapati Singapura tidak mengemukakan sebarang bukti yang bertentangan.
  • Dalam keputusan mengenai hak milik South Ledge pula, kata Shawkat, mahkamah berpendapat bentuk maritim itu berada di perairan bertindih antara Pulau Batu Putih yang kini menjadi milik Singapura dan Middle Rocks yang kekal bersama Malaysia.
  • “Mahkamah hanya diminta untuk memutuskan kedaulatan ketiga-tiga bentuk maritim itu secara berasingan dan pada masa yang sama mahkamah tidak diberi kuasa untuk menetapkan garis persempadanan wilayah perairan Malaysia dan Singapura.
  • “Dalam hal ini, mahkamah merumuskan kedaulatan South Ledge adalah milik negara yang perairannya terletak bentuk maritim itu,” kata beliau.
  • Delegasi Malaysia ke ICJ hari ini diketuai oleh Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim; Ejen Malaysia dan Duta Tugas-Tugas Khas, Tan Sri Abdul Kadir Mohamad; Ejen Bersama, Datuk Noor Farida Ariffin; Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail; Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Tan Sri Rastam Mohd. Isa; dan Timbalan Setiausaha (Pembangunan) Kerajaan Negeri Johor.
  • Barisan peguam antarabangsa yang mewakili Malaysia pula terdiri daripada Sir Elihu Lauterpacht, James Crawford, Nicolaas Jan Schrijver, Marcelo G. Kohen, dan Penelope Nevill. Lauterpacht bagaimanapun tidak hadir hari ini.
  • Singapura pula diwakili antara lain oleh Timbalan Perdana Menteri, S. Jayakumar

Followers