Sunday, November 8, 2009

PANDUAN MENYEDIAKAN KERTAS CADANGAN KAJIAN

( Khas untuk pelajar-pelajar Tingkatan 6 yang menjalankan projek RnD )

1. Tajuk Kajian
Tajuk kajian harus mencerminkan skop dan kandungan kajian secara umum tetapi tepat. Sebagai garis panduan umum, hadkan bilangan perkataan dalam tajuk supaya tidak melebihi 10 perkataan.

2. Kepentingan Kajian
Kajian harus mempunyai nilai sumbangan kepada penambahan ilmu dan boleh digunakan untuk kepentingan organisasi dan perkhidmatan.

3. Pernyataan Masalah
Kajian harus menyatakan permasalahan yang mencetuskan keinginan pengkaji untuk menyelidikinya

4. Objektif Kajian
Objektif kajian meliputi perkara-perkara yang hendak dicapai atau dilaksanakan dalam projek kajian. Pengkaji boleh menyatakan objektif kajiannya secara khusus atau membahagikan objektif kajian tersebut kepada dua iaitu objektif umum dan objektif khusus.

5. Skop dan Batasan Kajian
Secara praktikalnya sesuatu kajian itu dibatasi oleh kekangan masa, tenaga dan kewangan. Oleh itu sesuatu kajian perlu menyatakan skop dan batasan sebagai terma rujukan.

6. Teori dan Hipotesis Kajian
Teori memberikan arah haluan kepada pengkaji untuk melaksanakan kajiannya. Teori juga membantu pengkaji memilih dan menilai angkubah yang difikirkan berkaitan dengan masalah yang dikaji. Hipotesis ialah saranan yang bersifat sementara (mungkin betul atau tidak) tentang hubungan antara sesuatu angkubah dengan angkubah lain dalam kajian.

7. Metodologi Kajian
i. Reka bentuk Kajian
Pengkaji harus menentukan reka bentuk kajian yang paling sesuai untuk mencapai objektif kajian

ii. Kaedah Pengumpulan Data
Pengkaji perlu menyatakan sumber data yang digunakan sama ada bersifat primer atau sekunder. Kemudian jelaskan kaedah yang digunakan untuk memperolehi data seperti daripada dokumen atau penerbitan badan tertentu, tinjauan di lapangan menggunakan borang soal selidik, tinjauan melalui pos/e-mel, pemerhatian pengkaji, temu bual bersemuka, temu bual menerusi telefon dan sebagainya.

iii. Kaedah Menganalisis Data
Pengkaji perlu menyatakan kaedah analisis data yang digunakan sama ada secara kuantitatif, kualitatif atau kombinasi kedua-duanya.

iv. Populasi dan Persampelan ( kumpulan yang akan dikaji )
Kajian perlu mengenalpasti kaedah untuk mendapatkan populasi bagi membina rangka persampelan.

8. Sorotan Kajian-kajian Lalu
Meneliti kajian-kajian lalu memberi peluang kepada pengkaji untuk mempelajari pengalaman dan penemuan orang lain. Dalam bahagian ini, pengkaji boleh memberi sedikit ringkasan dan komentar mengenai kedudukan epistemologi ilmu pengetahuan dalam bidang yang diselidiki dengan menyorot aspek teori, permasalahan, metodologi, persampelan, penganalisisan data, dapatan (penemuan), kekuatan, kelemahan dan cadangan penambahbaikan daripada kajian-kajian lalu itu.

9. Anggaran Implikasi Kewangan
Pengkaji perlu menyenaraikan butiran perbelanjaan yang akan ditanggung untuk menjalankan kajian tersebut. Implikasi kewangan sebenarnya banyak bergantung kepada cara pengendalian kajian, misalnya bayaran khidmat mencetak borang kaji selidik.

10. Jadual Kerja
Dalam jadual kerja perlu dinyatakan tarikh dan jangka masa setiap peringkat penyelidikan dijalankan iaitu bermula dengan menyediakan kertas cadangan kajian, melaksanakan sorotan karya, menentukan teori dan hipotesis, merangka soal selidik, membuat pilot test ( sekiranya perlu ), mengumpul data, menganalisis data dan menulis laporan kajian. Salah satu kaedah yang sesuai untuk merangka jadual kerja kajian ialah dengan menggunakan Carta Gantt.

** diubahsuai daripada penerbitan INTAN

No comments:

Post a Comment

Followers