Wednesday, October 7, 2009

MOSTE Serius Popularkan Sains dan Teknologi

MARZITA ABDULLAH ( Estidotmy, Oktober, 2009)

PENERAPAN ilmu sains dan teknologi (S&T) di kalangan masyarakat di negara ini terutama golongan pelajar amat dipandang serius oleh kerajaan. Ini berdasarkan peruntukan bagi pelaksanaan Program Penggalakkan Sains dan Teknologi (PPST) yang berjumlah RM14.65 juta bagi Rancangan Malaysia ke-8 (RMK-8).

Pada tahun lalu, sejumlah RM3.1 juta telah diperuntukkan untuk PPST manakala bagi tahun ini sebanyak RM3.05 juta telah diperuntukkan.Jumlah peruntukan bagi RMK-8 adalah dua kali ganda daripada peruntukan PPST pada RMK-7 yang berjumlah RM7.5 juta.
PPST yang diletakkan di bawah Bahagian Sains dan Teknologi Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar (MOSTE) diadakan sepanjang tahun dengan mewujudkan pelbagai aktiviti untuk menanam minat masyarakat Malaysia terhadap S&T.Aktiviti PPST dibahagikan kepada tiga peringkat iaitu peringkat persekutuan, negeri dan sekolah.


Di peringkat persekutuan, projek besar-besaran diadakan meliputi pelbagai pertandingan yang memberi imbuhan yang lumayan serta pameran yang melibatkan semua lapisan masyarakat.
Aktiviti-aktiviti itu ialah Anugerah Sains yang bertujuan memberi pengiktirafan dan galakan terhadap kerja dan pencapaian cemerlang ahli-ahli sains, penyelidik, perekacipta dan juruteknologi tempatan dalam pembangunan S&T negara.

Anugerah itu terdiri daripada Anugerah Sains Negara dengan hadiah wang tunai sebanyak RM60,000, Anugerah Perekacipta Negara (wang tunai RM20,000), Anugerah Saintis Muda Negara (empat hadiah wang tunai bernilai RM10,000 setiap satu) dan Anugerah Juruteknologi Negara dengan empat hadiah wang tunai bernilai RM5,000 setiap satu.

Selain itu anugerah lain yang turut diadakan ialah Anugerah Majlis Penyelidikan dan Kemajuan Sains Negara (MPKSN) yang bertujuan menghargai dan mengiktiraf sumbangan individu, institusi penyelidikan, persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) S&T dan sektor swasta terhadap pembangunan S&T negara.

Menteri Sains, Teknologi dan Alam Sekitar, Datuk Seri Law Heing Ding melawat salah satu pameran Sains dan Teknologi yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Anugerah tersebut ialah Anugerah Peningkatan Kefahaman Awam Terhadap S&T, Anugerah Institusi Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) dan Anugerah Pendidikan Matematik.
Turut dilaksanakan di bawah PPST ialah Pesta Pertandingan Robot (ROBOFEST) yang merupakan anjuran bersama MOSTE dan SIRIM Berhad serta Kementerian Pendidikan.
ROBOFEST bertujuan mempromosi dan mendorong minat setiap lapisan masyarakat di peringkat sekolah dan pelajar universiti serta orang ramai terhadap teknologi robotik dan kepintaran buatan (artificial intelligent).Antara aktiviti pesta tersebut ialah pertunjukan robotik, pertandingan robotik, seminar dan forum.


Dengan kesedaran bahawa budaya S&T boleh dipupuk melalui pembacaan MOSTE turut bekerjasama dengan Akademi Sains Malaysia menerbitkan majalah khas S&T iaitu estidotmy.
Ia bertujuan untuk menarik minat para pelajar terutama yang berumur 15 tahun ke bawah untuk meminati dan menerokai bidang S&T di samping memberi kefahaman dan pengetahuan kepentingan S&T dalam kehidupan seharian manusia.


MOSTE turut menyediakan Skim Bantuan Kewangan MOSTE yang merupakan bantuan kewangan (token) bagi membiayai sebahagian kos penganjuran aktiviti persatuan dan NGO S&T seperti persidangan, bengkel, seminar dan aktiviti-aktiviti promosi S&T berdasarkan Garis Panduan Bantuan Kewangan MOSTE dan Kementerian Kewangan.


Turut tersenarai dalam aktiviti PPST ialah Peruntukan Khas Projek Inovasi Sains, Kejuruteraan dan Rekacipta Sekolah Menengah.


Pengwujudan skim itu merupakan salah satu usaha menggalak dan membantu para pelajar sekolah untuk membuat persediaan mengambil bahagian dalam pertandingan penyelidikan S&T, reka cipta dan inovasi anjuran bersama Bahagian Sekolah Kementerian Pendidikan dan Bahagian Sains dan Teknologi, MOSTE.


Usaha MOSTE mempromosikan Sains dan Teknologi berjaya menanam minat generasi muda terhadap bidang itu, seperti robotik.


Turut diadakan ialah Ekspo S&T yang dianjurkan oleh Institut Penyelidikan Teknologi Nuklear Malaysia (MINT) bertujuan mempromosi hasil-hasil R&D dan kemajuan teknologi S&T yang dilaksanakan oleh institusi R&D tempatan.


MOSTE turut mengadakan dialog antara pihaknya dengan persatuan dan NGO S&T yang bertujuan membincangkan isu-isu S&T yang melibatkan bidang kuasa dan tanggungjawab MOSTE serta agensi-agensinya.


Di samping itu, ia diadakan bagi mendapat maklum balas dan cadangan daripada persatuan dan NGO S&T bagi membolehkan MOSTE memperkemaskan dasar dan meningkatkan mutu perkhidmatan kepada masyarakat.Pameran Rekacipta Inovasi dan Teknologi (ITEX), suatu pameran yang mendapat sambutan hebat daripada saintis dan penyelidik merupakan salah satu daripada aktiviti PPST.


ITEX dianjurkan oleh Persatuan Rekacipta dan Rekabentuk Malaysia (MINDS) yang merupakan pameran hasil reka cipta, inovasi dan pameran hasil-hasil penyelidikan.
Antara aktiviti ITEX ialah pertandingan reka cipta dan reka bentuk, malam budaya cipta, zon inovasi dan keusahawanan, anugerah gerai terbaik dan seminar reka cipta. Turut disenaraikan dalam aktiviti PPST ialah Kongres Sains dan Teknologi Malaysia yang diselaraskan oleh Gabungan Persatuan-persatuan Sains dan Teknologi Malaysia (COSTAM).
Objektif kongres itu ialah untuk mengemaskini dan menonjolkan kemajuan yang dicapai dalam R&D serta meningkatkan interaksi antara saintis tempatan dan saintis Malaysia yang berkhidmat di luar negara.


MOSTE juga tidak pernah melupakan peranan wartawan di negara ini dalam menyebarkan maklumat-maklumat terkini S&T justeru ia turut dimasukkan dalam aktiviti PPST.
Antara aktiviti yang melibatkan pihak media ialah Bengkel Kewartawanan S&T yang diselaraskan oleh Institut Akhbar Malaysia (IAM) bertujuan memberi peluang kepada wartawan media cetak dan elektronik menimba pengetahuan dan kemahiran kewartawanan dalam pelbagai bidang S&T.MOSTE dan IAM turut memberi pengiktirafan terhadap pihak media melalui Anugerah Kewartawanan Sains dan Teknologi berdasarkan sumbangan mereka meningkatkan kesedaran dan penghayatan orang ramai terhadap S&T menerusi artikel dan rancangan berhubung pelbagai isu S&T.

Tiga anugerah disediakan untuk pihak media iaitu Anugerah Kewartawanan Sains dan Teknologi dengan tiga hadiah wang tunai bernilai RM3,000 setiap satu, Hadiah Penghargaan Wartawan dengan lima hadiah wang tunai bernilai RM1,000 setiap satu dan Hadiah Pertubuhan Media.
Dalam pada itu, di peringkat negeri pula PPST dijalankan dengan kerjasama kerajaan-kerajaan negeri dan jabatan-jabatan kerajaan, persatuan sains dan swasta. Antara aktiviti bagi galakan S&T ialah pameran, kuiz melalui radio, seminar kesedaran, lawatan ke kilang dan anugerah sains.
Di peringkat sekolah pula, MOSTE, Kementerian Pendidikan, Lembaga Getah Malaysia, Akademi Sains Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) bergabung tenaga melaksanakan pelbagai aktiviti untuk menarik minat pelajar dalam bidang S&T.Antara aktivitinya ialah puisidra S&T, kuiz sains semula jadi, kuiz sains nasional dan kem penyelidikan S&T.

No comments:

Post a Comment

Followers