Sunday, December 26, 2010

Tumbuh-Tumbuhan Penyebab Dermatitis

Oleh: CHE NIN MAN (PUSAT RACUN NEGARA, USM)

Negara kita kaya dengan tumbuh-tumbuhan yang menghijau sepanjang tahun. Pelbagai tumbuh-tumbuhan telah digunakan dalam amalan perubatan tradisional sama ada di kalangan masyarakat Melayu, Cina, India atau Orang Asli. Dewasa ini orang ramai telah mula cenderung untuk mengamalkan perubatan menggunakan tumbuhan sebagai alternatif kepada perubatan moden. Di antara tumbuh-tumbuhan tersebut ada yang telah di komersialkan seperti Tongkat Ali dan Kacip Fatimah.

Namun demikian terdapat juga banyak tumbuh-tumbuhan beracun di negara kita, di antaranya ialah Cempaka Hutan, Beridin, Dokong Anak, Jarak, Kechubong, Hempedu Bumi dan sebagainya. Tumbuh-tumbuhan beracun ini mampu memberi kesan keracunan melalui sentuhan, terhidu atau termakan.

Dermatitis adalah sejenis penyakit yang berkaitan dengan keradangan pada kulit. Terdapat beberapa jenis dermatitis yang boleh disabitkan dengan pendedahan kepada tumbuh-tumbuhan. Ada di antara dermatitis ini boleh memberi kesan sistemik dan biasanya mengambil masa antara satu hingga tiga minggu untuk sembuh. Berikut adalah jenis-jenis dermatitis akibat pendedahan tersebut:

Kesan Alahan
Kesan alahan berlaku apabila seseorang individu itu sensitif kepada sesuatu jenis alergen seperti debu, debunga atau bahan kimia tertentu di dalam tumbuh-tumbuhan. Kesan ini dikenali melalui kewujudan tompokan merah, gatal, keras dan melepuh pada kulit. Biasanya kesan ini timbul setelah lima hingga tujuh hari dari hari sentuhan berlaku. Kesan alahan ini akan timbul semula apabila sentuhan terhadap tumbuh-tumbuhan tertentu berlaku. Kesan alahan dapat dikenal pasti melalui ujian alahan. Contoh tumbuh-tumbuhan yang menyebabkan kesan alahan jenis ini ialah bawang putih atau Alium sativum yang mengandungi S -2-propenil-L-sulfoksida sistina, atau juga dikenali sebagai alliin yang menghasilkan minyak bersulfida seperti di-alil-disulfida yang merupakan allergen utama di dalam bawang putih.

Lain-lain tumbuhan yang menyebabkan alahan biasanya adalah dari famili Compositae, Magnoliaceae, Amaranthaceae, Alliaceae dan lain-lain.

Keradangan Kimia atau Perengsa
Keradangan kimia ialah kesan langsung bahan kimia yang terdapat di dalam tumbuh-tumbuhan. Ia dikenali melalui tanda kemerahan, sakit, rasa seperti terbakar, bengkak, gatal, lebam dan lecur pada kulit yang wujud dalam tempoh 24 jam setelah tersentuh. Tumbuh-tumbuhan yang terlibat biasanya dari famili Euphorbiaceae, Brassicaceae, Ranunculaceae, Anacardiaceae, Agavaceae dan Araceae. Bahan kimia ini selalunya berada di dalam getah, cecair tumbuh-tumbuhan, sel atau kelenjar dalam tumbuh-tumbuhan. Di antara bahan kimia yang boleh menyebabkan keradangan ini ialah asid oksalik, kalsium oksalat, sinamik aldehid, koniferil benzoat, sitral, delta-3-karena, asid abetik, kostunolid, atranorin, histamine, asetilkolin, 5-hidroksitriptamina dan lain-lain.

Fotodermatitis
Fotodermatitis menyebabkan kulit seseorang menjadi sensitif kepada cahaya setelah tersentuh tumbuh-tumbuhan tertentu. Di antara kesan fotodermatitis ialah gatal, kemerahan, bengkak, melepuh dan hiperpigmentasi atau perubahan warna kulit. Contohnya, psoralens yang terdapat di dalam limau nipis akan menunjukkan kesan toksik pada cahaya matahari setelah beberapa jam dari masa sentuhan berlaku.


Kecederaan Mekanikal
Kecederaan ini biasanya berlaku akibat tercucuk duri, gerigi, jejarum, bulu sisik atau bahagian tajam pada tumbuh-tumbuhan dan seterusnya merebak melalui jangkitan bakteria atau kulat. Biasanya tumbuh-tumbuhan yang mampu menyebabkan kecederaan jenis ini adalah dari famili Cactaceae (kaktus), Palmae (palma), Acanthaceae, Agavaceae dan Euphorbia L.

Rawatan

  1. Jauhi dari tumbuh-tumbuhan tersebut. Buangkan duri atau sisa tumbuh-tumbuhan pada
    kulit
  2. Tanggalkan pakaian yang meliputi bahagian yang luka.
  3. Basuh kawasan sentuhan dengan air dan sabun.
  4. Jika masih terasa sakit dapatkan rawatan perubatan. Rawatan biasanya melibatkan
    ubat sapuan jenis kortikosteroid dan ubat yang diambil secara oral iaitu antihistamin.
  5. Kesan alahan dan fotodermatitis hanya wujud setelah beberapa hari, oleh itu cara terbaik
    adalah dengan mengelak diri dari tumbuh-tumbuhan yang memudaratkan.

Cara Pencegahan

  1. Mengenali tumbuh-tumbuhan yang berbahaya dan tidak berbahaya di sekitar kawasan rumah.
  2. Jangan menanam tumbuh-tumbuhan yang diketahui beracun sebagai perhiasan rumah
  3. Mengajar kanak-kanak tentang tumbuh-tumbuhan beracun yang terdapat di sekitar rumah dan di kawasan mereka sering bermain,.dan melarang mereka bermain dengan tumbuh-tumbuhan tersebut. Jangan membakar tumbuh-tumbuhan beracun kerana asapnya mungkin berbahaya.

Followers